27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Peguam dua defendan mahu tarik diri kes saman Siti Nordiana

Mesti Baca

PEGUAM mewakili Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin dan jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, dikatakan akan memohon untuk menarik diri dalam kes saman oleh penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias.

Memetik laporan Berita Harian, selain Sam Musyadzafar dan Razidah, Siti Nordiana turut menyaman dua rakan seperjuangannya iaitu Lan Solo atau Mohd Razlan Mohamed Yusof dan Syura atau Zuraidah Badron selain isteri Lan Solo, Nur Sheila Hassim.

Peguam bela Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin, berkata perkembangan baharu itu akan didengar pada pengurusan kes berkenaan menerusi aplikasi Zoom di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee, esok.

“Pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Syalia Ain Zainuddin, hari ini, dilapangkan.

“Mahkamah menetapkan jam 9 pagi esok untuk dengar permohonan peguam defendan keempat (Sam Musyadzafar) dan kelima (Razidah) untuk menarik diri daripada mewakili mereka.

“Tarikh bicara masih dikekalkan melainkan ada arahan lain daripada hakim terbabit esok,” katanya.

Perbicaraan kes saman itu ditetapkan selama 12 hari iaitu 3 hingga 5 Oktober, 7 hingga 9 November, 28, hingga 30 November serta 5 hingga 7 Disember ini.

Siti Nordiana sebagai plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates di Mahkamah Sesyen di sini, pada 30 Julai 2021.

Advertisements

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada jam 11.58 malam 20 Julai 2021, melalui siaran langsung dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya menerusi akaun Instagram masing-masing.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Juara Gegar Vaganza musim kedua itu mendakwa, kelima-lima defendan memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta dimuat naik semula ke akaun Youtube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.

Siti Nordiana berkata, jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun Youtube dijangka bertambah dan reputasi beliau dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.

Plaintif mendakwa sebelum memulakan tindakan saman itu, beliau melalui peguamnya menyerahkan Notis Tuntutan bertarikh 26 Julai 2021, melalui serahan tangan dan e-mel kepada semua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh 24 jam, selain ganti rugi RM200,000, namun mereka gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, Siti Nordiana menuntut semua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook, secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.

Beliau turut menuntut ganti rugi am RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kempen dengan idea, hujah bukan hina pihak lawan – Akmal

KETUA Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mahukan agar para pemimpin dan penyokong Perikatan Nasional (PN) berkempen secara sihat dan...

Lagi Artikel Berkaitan