DR Muhammad Faiz Na’aman mengumumkan meletak jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk berhenti sebagai ahli parti itu berkuat kuasa hari ini.
Muhammad Faiz turut mengutuskan surat rasmi peletakkan jawatannya itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, objektif awal penubuhan parti berkenaan kian terpesong yang mana ia mahu menggantikan UMNO dengan memberi lebih ruang kepada orang muda dan muka baharu terutama mempunyai latar belakang bersih.
“Keputusan kepimpinan parti yang seringkali mengabaikan suara akar umbi, pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan Bersatu mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor sebelum ini.
“Sejarah itu juga dilihat bakal berulang pada PRN enam negeri terutama untuk kerusi-kerusi Bersatu dalam PRN Selangor sekarang,” katanya dalam satu hantaran yang di muat naik di laman Facebook miliknya, hari ini.
Katanya, pemilihan calon oleh parti juga bersifat ‘berat sebelah’ kepada ‘kartel’ tertentu dan muka baharu dijadikan sebagai ahli semata-mata untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor.
Ia menyebabkan pemberontakan lebih sembilan bahagian Bersatu di Selangor hingga berlakunya insiden membakar bendera Perikatan Nasional (PN) secara terbuka sebagai tanda protes akar umbi terhadap percaturan Jawatankuasa Pemilihan Saringan Calon.
“Bukan itu sahaja, kelemahan lembaga disiplin parti yang lambat dan banyak kerenah menyebabkan watak yang telah keluar dan mengkhianati parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu boleh kembali mendakwa dirinya masih menjadi ahli Bersatu untuk dipilih menjadi calon PN dalam PRN ini.
“Tidak hairan jika Bersatu tidak lagi menjadi wadah tumpuan penghijrahan mereka dari parti-parti lain atau menjadi sasaran kemasukan anak-anak muda serta orang baharu dalam politik memandangkan kerapuhan sistem pengurusan keahlian,
Parti juga dilihat semakin tidak dihormati, malah ada permintaan dan keputusan rundingan tidak diendahkan oleh rakan parti yang terkuat dalam PN apabila mereka tahu Bersatu makin lemah dari segi kepimpinan dan pengaruh akibat percaturan politik dalaman.
“Saya kecewa kerana Bersatu kurang menekankan mengenai asas ideologi perjuangan dalam kalangan pemimpin dan akar umbi parti hingga ada pihak baharu menyertai parti cuba membawa mentaliti terdahulu.
“Saya ingin membuka lembaran buku baharu kehidupan sempena penghijrahan saya ini tanpa menoleh lagi ke belakang.
“Saya harap kita boleh mengamalkan politik matang berdasarkan rasional, fakta, realiti dan keutamaan dalam membentuk masyarakat yang adil, cerdik menilai serta tidak taksub dengan individu demi membina kembali negara majmuk milik,” katanya. – Edisi 9