“MEMANG saya tidak hormat Aminuddin,”akui penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek.
Pendedahan tersebut dibuat sehari selepas kenyataan dibuat oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengenai pergeseran yang berlaku antara kedua-dua pemimpin negeri tersebut.
Beliau yang bertanding sebagai calon Bebas DUN Ampangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, menyifatkan Aminuddin seorang pemimpin yang amat lemah dan tiada berwawasan.
Dakwanya, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kerajaan negeri, Aminuddin tiada langsung perancangan untuk meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk setiap portfolio Exco Kerajaan Negeri Sembilan.
“Lebih parah, Aminuddin juga menganggu tugasan Exco. Sebagai contoh, tugasan Exco Pelaburan dan Perindustrian cuba diganggu gugat dengan membawa kenalan baik beliau, Azlina Mohd Sukaimi sebagai Pegawai Khas Ekonomi kepada Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Ramai pelabur mengadu mereka diminta untuk tidak berhubung dengan Exco Pelaburan dan Perindustrian yang merupakan pemacu utama pembangunan ekonomi negeri.
“Pelabur hanya perlu berjumpa dengan Pegawai Khas Ekonomi beliau ini yang sebenarnya tidak mempunyai kelayakan untuk berperanan sebagai pakar ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Rafie turut meragui integriti Aminuddin khususnya berkaitan kes balak Yayasan Negeri Sembilan membabitkan tanah hutan seluas 2,000 hektar (5,000 ekar).
Menurutnya, beliau menerima banyak rungutan berkaitan anak dan abangnya yang dikaitkan dengan pemberian kontrak.
“Saya mohon supaya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mana-mana badan berautoriti memulakan siasatan berkaitan perkara tersebut,” katanya.
Malam kelmarin, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan dalam ceramah di Taman Tok Wan secara terbuka mengakui berlaku pergeseran antara beliau dengan Rafie.
Beliau juga mendakwa Rafie tidak menghormatinya selaku Menteri Besar dan pimpinan PH di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan banyak pembangunan dan perubahan dibawa Rafie di Ampangan. – Edisi 9

