25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

Julung kali bahasa isyarat iringi bacaan ikrar, Rukun Negara

sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023

Mesti Baca

BUAT julung kalinya, bacaan ikrar dan Rukun Negara pada majlis sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan turut diiringi bahasa isyarat yang dikendalikan pasukan khas.

Kelainan itu bakal ditampilkan oleh 36 pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras, pada majlis sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini, 31 Ogos ini.

ahun ini, bacaan ikrar lisan akan disempurnakan 40 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diketuai oleh Muhammad Haikal Roslan, dengan berdiri berhadapan kumpulan daripada IPG Kampus Ilmu Khas yang berperanan menyampaikan mesej ikrar menggunakan bahasa isyarat pula.

Jurulatih untuk bacaan ikrar kumpulan IPG Kampus Ilmu Khas, Saiful Azam Khoo Abdullah, berkata pengenalan bahasa isyarat pada upacara besar-besaran seperti sambutan Hari Kebangsaan dapat membuka ruang memperluaskan bahasa berkenaan kepada masyarakat normal.

“Ia secara tidak langsung membuka minda orang ramai untuk mempelajari bahasa isyarat dan pada masa sama, memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk mengetahui serta mendalami mesej bacaan ikrar nanti,” katanya kepada Bernama yang melakukan tinjauan persiapan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Beliau yang juga pensyarah Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) berkata, latihan intensif sudah dijalankan sejak dua bulan lalu dan pasukannya berazam untuk memberikan yang terbaik pada majlis sambutan Hari Kebangsaan nanti.

Sementara itu pelajar Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) IPG berkenaan, Nur Iman Sorfina Mohd Iza Ney, 21, mengaku berasa bertuah apabila dipilih oleh pensyarahnya sebagai ahli pasukan menyampaikan ikrar dalam bahasa isyarat, dan berpendapat golongan OKU tidak wajar dipinggirkan.

Advertisements

“Dengan ini, OKU juga dapat merasakan mereka sama seperti orang biasa dan tidak berasa terpinggir sangat,” katanya.

Jurulatih sukan lasak dan penyelia bacaan ikrar UPNM, Leftenan Kolonel Mustapha Omar (B) pula memaklumkan, ini kali kedua universiti berkenaan diberi tanggungjawab bagi pembacaan ikrar Hari Kebangsaan selepas 2016.

Dengan durasi tiga minit 18 saat, pembaca ikrar dari UPNM yang membabitkan pelajar Akademi Kecergasan Pertahanan dan pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) itu akan mengenakan pakaian tradisional berbilang kaum.

Muhammad Danial Yusofhariyono yang berasal dari Tawau, Sabah, berkata beliau bangga diberikan penghormatan sebagai salah seorang pembaca ikrar dari UPNM bagi upacara penting negara, dan beranggapan peluang itu tidak mungkin dapat dirasai buat kali kedua.

“Kami sedang melakukan latihan sebaik mungkin. Setakat ini, koordinasi antara pelajar UPNM dengan IPG itu agak baik dan tiada apa-apa masalah sepanjang kami berlatih,” katanya yang merupakan pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa, Diplomasi dan Keselamatan.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2023 bertema ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Ia adalah kali kelima sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya, selepas menjadi lokasi penganjuran sama pada 2003, 2005, 2018 dan 2019. -Bernama

Advertisements

Terkini

KPM umum beberapa inisiatif termasuk lonjak kapasiti guru digital

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital, kata Menteri Pendidikan,...

Lagi Artikel Berkaitan