JABATAN Penjara menafikan dakwaan kononnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terlibat dalam urusan tender pembekalan kain.
Menerusi kenyataan, Jabatan Penjara berkata, semua perolehan perkhidmatan dan pembekalan telah dilaksanakan melalui Sistem ePerolehan bagi memastikan ketelusan dalam perlaksanaan tender kerajaan.
“Tender pembekalan kain ini juga tertakluk kepada peraturan kewangan yang ditetapkan.
“Semua syarikat yang dibawa ke Lembaga Perolehan Kementerian Dalam Negeri untuk pertimbangan telah melepasi tiga peringkat penilaian iaitu peringkat Jawatankuasa Pembuka Tender, Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Penilaian Kewangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, wujud dakwaan kononnya syarikat yang gagal dari segi teknikal dan kewangan mendapat tender pembekalan kain di Jabatan Penjara kerana menggunakan ‘kabel’ Saifuddin yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Menurut Jabatan Penjara, Lembaga Perolehan KDN untuk tender tersebut telah bersidang hanya sekali sahaja iaitu pada 10 Julai lalu untuk memuktamadkan syarikat pembekal yang berjaya.
“Oleh itu, tidak berlaku sebarang kelewatan dalam urusan tender ini,” katanya. – Edisi 9