YAKIN dengan sambutan penonton terhadap genre komedi, pelakon dan pengarah, Datuk Fizz Fairuz meletakkan harapan yang begitu tinggi agar filem pertamanya, Mat Tudung Begins meraih kutipan jutaan ringgit.
Fizz, 43, berkata, jika filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya mengutip ratusan juta, tidak salah jika dia mempunyai impian sebesar itu.
“Ketika hendak menghasilkan filem ini, saya membuat kajian dan bertanya kepada orang ramai mengenai trend filem Malaysia masa kini apa yang mereka mahukan.
“Tidak salah saya mempunyai angan-angan jika filem ini berjaya box-office dan mendapat kutipan hingga jutaan ringgit.
“Kita mesti perlu ada sasaran serta impian dan saya juga tidak syok sendiri kerana niat menghasilkan filem ini juga bagi menghiburkan orang ramai,” katanya ketika ditemui pada tayangan filem berkenaan, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fizz juga percaya pengaruh media sosial memainkan peranan penting kerana itulah dia menampilkan Maryam Durian Kimchi dan Mimi Peri dalam filem berkenaan bagi menarik lebih ramai lagi penonton menyaksikan Mat Tudung Begins.
“Saya berharap usaha saya selama 9 tahun bagi merealisasikan filem tidak sia-sia. Saya bukannya orang kaya. Rasa teruja apabila akhirnya ada individu yang sudi melabur dan memberi kepercayaan kepada saya untuk mengarahkan filem buat kali pertama.
“Ketika filem Mat Tudung 2014, saya, Izzue Islam dan Nelydia Senrose belum terkenal dan kami masih baru dalam industri. Media sosial pun tidaklah rancak seperti sekarang.
“Saya juga memang mengharapkan kuasa media sosial. Seiring dengan perkembangan industri hiburan serta kuasa netizen, Insya-Allah filem ini akan berhasil. Sekurang-kurangnya dapat RM10 juta rasa sudah sangat bersyukur,” katanya.
Mat Tudung Begins mula menemui penonton di seluruh pawagam tanah air sejak semalam. Filem ini mengisahkan tentang Johari yang dilakonkan oleh Fizz berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada juri The Forbest yang bakal memberi penilaian kepada hotel tempatnya bekerja.
Pelbagai dugaan dan halangan terpaksa dihadapi sehingga memaksa Johari menyamar seperti wanita. – Edisi 9