31.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 16, 2024

Cakra Khan tiada masalah kolaborasi dengan penyanyi baharu

Mesti Baca

KEJAYAAN menambat hati juri ketika menyertai sesi uji bakat program realiti, America’s Got Talent (AGT) musim ke-18, baru-baru ini, memberi pengalaman yang cukup indah buat penyanyi dari Indonesia, Cakra Khan.

Meskipun sudah lebih sedekad menempa nama sebagai penyanyi profesional, perasaan debar tidak mampu disembunyikan, apatah lagi dirinya begitu mementingkan kesempurnaan setiap kali mahu tampil di panggung.

Jejaka kelahiran Pangandaran, Jawa Barat ini mengakui, apa juga pekerjaaan yang dilakukan, ia menuntut komitmen dan kesungguhan yang luar biasa, selain persediaan yang sangat teliti.

Komitmen yang sama turut diberikan pemilik nama lengkap, Cakra Konta Paryaman, 31, apabila bakal kembali beraksi di Kuala Lumpur dalam siri Dream Festival Collaboration Vol. 4-Cakra Khan Live In Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 17 September ini di Zepp Kuala Lumpur.

“Saya jenis orang yang akan memberi semaksimum mungkin dan sehabis baik setiap kali beraksi di pentas.

“Saya mahu semua yang membeli tiket dan datang ke konsert itu nanti terhibur serta tidak terasa rugi melihat persembahan saya,” katanya.

Cakra yang ditemu bual media tempatan menerusi sesi sidang media virtual, baru-baru ini berkata, buat masa ini dia begitu menitikberatkan penjagaan kesihatan, selain memastikan dirinya sentiasa mendapat tidur yang cukup.

Apatah lagi dengan keadaan cuaca yang tidak menentu membuatkan dia berusaha keras memastikan dirinya sentiasa sihat dan bertenaga untuk tampil maksimum nanti.

“Tidur yang cukup sangat penting untuk penyanyi. Selain melakukan latihan setiap hari, saya juga menitikberatkan istirehat, tambahan pula dalam keadaan cuaca ketika ini.

“Jaga kesihatan, rehat dan latihan antara perkara utama yang saya lakukan untuk memastikan suara sentiasa dalam keadaan terbaik,” katanya.

Cakra Live In Kuala Lumpur juga menyaksikan juara Big Stage musim kelima, Nadeera Zaini bakal bergandingan dengan penyanyi Mencari Cinta Sejati dan Harus Terpisah itu di pentas, selain kemunculan bakat baharu dari Indonesia, Riri Moeya.

Ditanya mengenai pemilihan Nadeera, Cakra berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana penyanyi.

Cakra berkata, apa yang penting dia hanya mahu memastikan penampilan mereka nanti mampu memberi kepuasan dan menghiburkan penonton.

“Saya orangnya santai dan terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja.

Mengenai Nadeera, sudah tentu pemilihan dibuat hasil perbincangan pengurusan saya dan pasukan Dream Festival.

“Baik Nadeera mahupun Riri, mereka punya kekuatan suara yang luar biasa. Saya pernah dengar suara Nadeera di Big Stage, begitu juga Riri. Saya orangnya suka berkolaborasi.

“Dengan siapapun saya berkongsi pentas, kami harus saling memberi. Saya tidak pilih hanya mahu bekerjasama dengan artis tertentu, sebaliknya terbuka untuk berkongsi pentas, termasuk dengan mereka yang belum pernah saya berkolaborasi,” katanya.

Advertisements

Ditanya mengenai lagu yang bakal dibawakan, Cakra berkata, dia sudah mempersiapkan sebanyak mungkin lagu kerana mahu kemunculannya nanti membekas di hati penonton.

“Saya jenis orang yang suka mempersiapkan banyak lagu. Namun, ia juga bergantung kepada durasi persembahan, selain situasi di pentas dan reaksi penonton nanti.

“Kadang-kadang saya akan beri lebih dan saya akui, sangat teruja apabila dapat berkongsi pentas dengan Nadeera nanti,” katanya.

Mengulas penyertaannya di AGT 2023, Cakra mengakui, dia berdepan gementar yang luar biasa, tambahan pula pentas pertandingan itu menjadi tumpuan antarabangsa.

“Setiap kali membuat persembahan, memang saya akan gementar. Cuma, bezanya di Indonesia, saya mempunyai pasukan di belakang pentas untuk memberikan sokongan.

“Di AGT 2023, saya sendirian dan tidak kenal sesiapa, melainkan juri dan tekanan yang dilalui sangat hebat.

“Saya tidak terlalu memikirkan mengenai komen juri, sebaliknya hanya mahu selesaikan tanggungjawab dengan sehabis baik,” katanya.

Sementara itu, Nadeera pula menyifatkan peluang yang diberikan itu sebagai penghormatan buat dirinya yang masih berusaha membina tapak kukuh dalam industri muzik.

Baginya, dia begitu teruja apabila diberi peluang untuk berduet dengan penyanyi yang diakui ramai memiliki kekuatan vokal yang cukup hebat itu.

Nadeera juga menyifatkan, kemunculan bersama Cakra nanti sebagai permulaan yang positif untuk perjalanan kerjaya nyanyiannya.

“Tekanan itu tidak begitu terasa, sebaliknya saya lebih teruja kerana dapat beraksi dengan penyanyi yang hebat. Saya akan membawakan empat lagu, termasuk satu lagu duet bersama Cakra.

“Saya juga akan menyanyikan single terbaharu yang bakal diperkenalkan dalam bulan ini, selain lagu ‘cover’.

“Secara jujur, saya sangat terharu dan tidak sangka dapat berkongsi pentas dengan Cakra,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Inspire Malaysia merangkap Penerbit Dream Festival, Thata Joyce Sigar pula mengumumkan, pihaknya turut melancarkan 400 tiket terakhir berharga RM178 dan RM198 untuk memastikan peminat tidak terlepas peluang menyaksikan kemunculan terbaharu Cakra.

Katanya, tiket boleh didapati dengan melayari pautan: www.ticket2u.com.

“Kami juga merancang untuk menampilkan penyanyi dari Malaysia bergabung dengan bakat dari Indonesia di pentas Dream Festival di Indonesia pada tahun depan.

“Malaysia memiliki ramai penyanyi hebat dan mereka sewajarnya diberi ruang untuk mengetengahkan bakat dengan lebih luas lagi,” katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Imigresen serbu ‘kawasan panas’, tahan 17 pendatang asing

SEBANYAK 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam satu operasi di 'kawasan...

Lagi Artikel Berkaitan