32.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Tingkatan Enam dijenamakan Kolej Pra-Universiti

Pengarah Kolej Pra-Universiti akan diberi autonomi bagi pengambilan pelajar Tingkatan Enam secara terus

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan penjenamaan semula sistem pendidikan Tingkatan Enam kepada Kolej Pra-Universiti yang akan berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perubahan itu turut membabitkan penjawatan di dalam kolej tersebut yang mana jawatan Pengetua akan ditukarkan kepada Pengarah.

“Penjenamaan semula itu turut menyaksikan perubahan bagi istilah Guru Penolong Kanan kepada Timbalan Pengarah, manakala guru kepada pensyarah dan murid dikenali sebagai pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia Persiaran 1, Bandar Baru Selayang, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Pkharuddin Ghazali.

Hadir sama Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Adnan Husin dan Pengerusi MPM merangkap Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Mengulas lanjut, kata beliau, menerusi proses yang sama, pengarah Kolej Pra-Universiti akan diberi autonomi sepenuhnya bagi pengambilan pelajar Tingkatan Enam.

“Penjenamaan semula ini dibuat dalam usaha memberi peluang kepada murid untuk melangsungkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan KPM akan meneliti kelonggaran syarat bagi kemasukan ke Tingkatan Enam.

Advertisements

“Justeru, KPM merangka strategi bagi pemberian autonomi kepada Pengetua Pusat Tingkatan Enam bagi pengambilan pelajar, sekiranya masih terdapat kekosongan.

“Pengarah akan mengenal pasti pelajar berpotensi yang memerlukan peluang menyambung pengajian dan boleh menggunakan kuasa autonomi untuk membuat tawaran sendiri secara terus kepada murid berkenaan.

“Tawaran ke Tingkatan Enam sebelum ini adalah melalui KPM dan mungkin kita terlepas pandang. Mungkin ada yang berpotensi dan mahu menyambung pengajian tetapi tiada peluang,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM juga sedang meneliti laluan khas bagi meningkatkan bilangan guru cemerlang Tingkatan Enam yang ketika ini direkodkan seramai 60 orang atau 0.5 peratus daripada keseluruhan guru akademik Tingkatan Enam.

“Dalam usaha meningkatkan kualiti profesionalisme guru akademik Tingkatan Enam, KPM akan menyediakan laluan khas bagi guru cemerlang Tingkatan Enam.

“Ke arah ini, KPM akan meneliti semula instrumen penilaian guru cemerlang Tingkatan Enam,” katanya.

Ujar beliau, usaha penjenamaan ini adalah komitmen KPM dalam merangka hala tuju dan imej lebih prestij kepada Tingkatan Enam, selain setiap fasiliti, infrastruktur dan keperluan Tingkatan Enam akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali...

Lagi Artikel Berkaitan