KEADAAN kesihatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub stabil dan kini berada dalam pemantauan pasukan perubatan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, Salahuddin masih menerima rawatan susulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Beliau berharap semua pihak supaya sentiasa mendoakan kesihatan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) tersebut.
“Keadaannya (Salahuddin) stabil, kita doakan insya-Allah beliau sihat.
“Pembedahan semalam alhamdulillah berjaya dan kita sedang pantau keadaan beliau di ICU,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Madani Afiat dan One Hour Malaysia Clean Up peringkat negeri Terengganu di Perumahan Rakyat Padang Hiliran di Kuala Terengganu hari ini.
Salahuddin dikejarkan ke hospital Jumaat lalu selepas mengalami mual dan muntah-muntah.
Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal berkata, Ahli Parlimen Pulai itu bagaimanapun disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar dan perlu menjalani pembedahan.
Salahuddin pada sebelah pagi semalam selamat menjalani pembedahan dan menerima rawatan susulan di wad ICU. – Edisi 9

