30.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 14, 2024

Bakamla zahir penghargaan kepada Maritim Malaysia

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

BADAN Keamanan Laut Republik Indonesia (Bakamla) menzahirkan penghargaan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi penahanan sebuah kapal tangki berbendera Iran, MT Arman 114, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Mariitm Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd. Amin berkata, kapal tangki itu didakwa terlibat dalam aktiviti pemindahan haram minyak mentah di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), Indonesia.

Katanya, pada kejadian minggu lalu, Bakamla memohon bantuan Maritim Malaysia bagi melakukan tindakan kejar buru dalam operasi menahan kapal suspek.

Sebuah kapal tangki berbendera Iran, MT Arman 114 ditahan kerana disyaki melakukan pelanggaran peraturan maritim antarabangsa dan menyalahi peraturan Indonesia. – Edisi9/Maritim Malaysia

“Ini setelah mendapati telah berlaku aktiviti pemindahan minyak yang mencurigakan kepada kapal MT S Tinos berbendera Cameroon setelah kapal berkenaan melepasi sempadan perairan republik tersebut seterusnya memasuki Zon Maritim Malaysia.

“Bertindak kepada maklumat, Maritim Malaysia telah mengatur gerak sebuah pesawat udara yang membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) ke lokasi yang telah dikenalpasti dalam perairan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hamid berkata, kru helikopter AW 139 Maritim Malaysia telah berjaya melakukan pintasan terhadap kapal tangki tersebut sebelum tujuh anggota STAR melakukan fast roping di atas kapal suspek bagi tindakan penguatkuasaan selanjutnya.

Advertisements

Menurut beliau, kapal tangki tersebut disyaki melakukan pelanggaran peraturan maritim antarabangsa dan menyalahi peraturan Indonesia yang dipercayai membawa lebih 200 ribu tan metrik minyak mentah bernilai puluhan juta dolar.

“Setelah pemeriksaan dilakukan, anggota-anggota STAR turut berjaya menahan 28 anak kapal warga Syria dan tiga penumpang lain,” katanya.

Katanya lagi, kerjasama bersepadu antara Bakamla Indonesia dan Maritim Malaysia ini menunjukkan keberkesanaan kerjasama yang dijalinkan sejak sekian lama melalui latihan bersama di kawasan perairan Selat Melaka.

“Kejayaan operasi ini turut membuktikan kerjasama antara negara dalam memastikan keamanan dan keselamatan di perairan wilayah masing-masing.

“Kerjasama lebih kukuh di antara Maritim Malaysia dan Bakamla akan terus dipertingkat dalam memerangi ancaman jenayah di kawasan perairan yang melibatkan negara-negara serantau,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pelan Tindakan Industri Penjagaan dijangka siap Julai – KPWKM

PELAN Industri Penjagaan di Malaysia yang dirangka sebagai pemacu perubahan untuk merancakkan ekonomi melalui industri penjagaan dijangka siap Julai...

Lagi Artikel Berkaitan