DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baharu berkuat kuasa pada 1 Julai ini.
Felda menerusi kenyataan berkata, bekas Ahli Parlimen Kemaman itu menggantikan Tan Sri Idris Jusoh yang menamatkan perkhidmatan lebih awal pada 30 Jun ini.
“Felda optimis bahawa pelantikan ini akan dapat meneruskan kesinambungan usaha-usaha transformasi yang telah berjalan selama ini demi kemaslahatan warga peneroka serta generasi baharu Felda keseluruhannya.
“Warga Felda mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan atas segala sumbangan Idris serta mengalu-alukan kehadiran Ahmad Shabery sebagai pengerusi yang baharu,” katanya hari ini.
Ahmad Shabery, 65, merupakan graduan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Sains Politik di University of Leed, United Kingdom.
Sebelum ini, semasa menjadi Ahli Parlimen Kemaman, beliau telah memegang beberapa portfolio dalam Kabinet antaranya Menteri Belia dan Sukan, Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Sementara itu, Felda turut menzahirkan penghargaan Idris sepanjang tiga tahun perkhidmatan.
“Idris telah mengangkat Felda kembali gemilang dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi oleh agensi ini serta warga peneroka.
“Antara kejayaan terbesar ialah peningkatan produktiviti ladang peneroka yang meningkat lebih dua tan perhektar setahun daripada 17.29 tan perhektar pada tahun 2021 kepada 19.43 tan perhektar pada 2022.
“Peningkatan hasil ini secara langsung turut meningkatkan pendapatan warga peneroka,” katanya.
Felda berkata, bagi memperkasakan pendidikan generasi baharu, Idris turut memperkenalkan inisiatif Felda Digital Maker Hub: Coding & Robotic, Smart Classroom serta menaik taraf Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda sebagai salah sebuah MRSM Ulul Albab.
Kata kenyataan itu lagi, inisiatif-inisiatif itu memberikan peluang kepada generasi baharu Felda untuk mendapat pendidikan berkualiti yang mampu meningkatkan mobiliti sosial mereka.
“Idris juga telah membawa paradigma baharu yang menyokong komuniti peneroka menjadi komuniti yang memberi berbanding menerima. Ini dapat dibuktikan dengan penubuhan Waqaf Felda yang kini telah mengumpul dana hampir RM30 juta termasuk daripada warga peneroka sendiri,” katanya. – Edisi 9

