27.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Mahkamah Rayuan The Hague sahkan pendirian Malaysia

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda mengesahkan pendirian Malaysia bahawa keseluruhan proses timbang tara, termasuk final award yang dikeluarkan adalah tidak sah. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kumpulan Sulu tidak mempunyai asas perundangan untuk merampas aset Malaysia di Belanda. 

Ujarnya, penghakiman itu merupakan petunjuk bahawa sebarang usaha lanjutan pihak penuntut dan pembiaya mereka untuk menguat kuasakan final award ini di bidang kuasa lain adalah sia-sia.

“Keputusan Mahkamah Rayuan Belanda ini mengesahkan pendirian Malaysia bahawa timbang tara komersial yang dilaksanakan berpotensi menggugat integriti sistem timbang tara antarabangsa secara keseluruhan, kini telah dijamin melalui keputusan ini.

“Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah yang perlu, termasuk memperolehi pembayaran kos daripada pihak penuntut, rentetan keputusan Mahkamah Rayan Paris pada 6 Jun lalu yang mengekalkan penentangan Malaysia terhadap ‘Penghakiman Awal’ Dr. Gonzalo Stampa terhadap bidang kuasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague menolak permohonan kumpulam Sulu untuk pengiktirafan dan penguatkuasaan final award di Belanda yang dikeluarkan secara tidak sah oleh Dr. Stampa pada 28 Februari tahun lalu di Paris. 

Advertisements

Final award itu dikeluarkan hasil daripada proses timbang tara tidak sah yang dikemukakan pihak penuntut yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud.

Azalina berkata, keputusan Mahkamah Rayan Belanda secara jelas dibuat berdasarkan tiga alasan penghakiman.

Pertama, katanya pengeluaran final award adalah tidak sah berikutan pelantikan Dr. Stampa sebagai penimbang tara Mahkamah Sepanol sebelum ini sudah dibatalkan, sekaligus membatalkan semua asas tindakannya sejurus itu. 

Oleh itu, katanya, tiada pengiktirafan dan penguatkuasaan bagi final award boleh dilaksanakan.

“Selain itu, mahkamah juga memutuskan bahawa Perjanjian 1878 tidak mempunyai klausa timbang tara yang sah memandangkan klausa yang merujuk kepada Konsul General Borneo untuk menyelesaikan apa-apa pertikaian tidak boleh disifatkan sebagai satu klausa timbang tara.

“Mahkamah Rayan Belanda juga mendapati bahawa award tersebut tidak dapat diiktiraf dan dikuatkuasakan di Belanda berikutan penangguhan pelaksanaan final award di Paris,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan