24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Isu tuntutan waris Kesultanan Sulu tidak perlu mandat Parlimen

Tuntutan Kerabat Kiram itu bukan dalam konteks perjanjian antarabangsa atau menentukan dasar luar negara yang memerlukan mandat Parlimen

Mesti Baca

ISU tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia berhubung hak milik Sabah tidak memerlukan mandat Parlimen sebaliknya memadai dengan pasukan Peguam Negara yang dilantik bagi menyelesaikannya.

Pakar perlembagaan, Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, tidak dinafikan Parlimen merupakan forum untuk membahas isu penting melibatkan kedaulatan negara dan hubungan antarabangsa.

Beliau yang juga Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagaimanapun berkata, isu tuntutan kerabat Kiram itu perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar.

“Kerajaan sudah memberi penjelasan dan tindakan yang sewajarnya sedang dibuat untuk membela tuntutan tersebut.

“Oleh kerana tuntutan Kerabat Kiram sedang dirayu pastinya pasukan Peguam Negara perlu mengkaji banyak sudut dan menimbangkan pelbagai isu agar sebarang pendekatan yang bakal diambil tidak tersalah langkah.

“Dalam tempoh kritikal ini strategi amat penting dan tidak wajar terdedah kepada pihak lawan,” katanya mengulas keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menolak usul berhubung tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah di Parlimen hari ini.

Wan Ahmad Fauzi berkata, pada masa yang sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Wan Tuanku Jaafar telah pun membuat penjelasan berhubung isu tersebut yang kini dalam proses rayuan oleh kerajaan Malaysia.

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN

Beliau berkata, isu tuntutan waris Kesultanan Sulu itu bukanlah dalam konteks perjanjian antarabangsa atau menentukan dasar luar negara yang memerlukan mandat Parlimen.

“Pada peringkat ini adalah untuk membela terhadap tuntutan Kerabat Kiram dan melindungi aset Malaysia di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, Speaker Dewan Rakyat perlu memainkan peranan untuk menenangkan ahli-ahli Parlimen bahawa suatu kertas putih boleh dibentangkan pada masa yang sesuai agar tidak memprejudiskan kes pembelaan di mahkamah.

Advertisements

Katanya, Ahli Parlimen juga wajar memberi kepercayaan kepada pasukan Peguam Negara untuk bersiap siaga dan berpuas hati dengan penjelasan Menteri berkenaan.

“Sebarang pandangan dalam keadaan yang sedang kritikal sebegini tidak semestinya hanya saluran perbahasan usul tergempar sahaja pendekatan terbaik,” kata beliau.

Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 dan oleh itu dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

Pada 11 Julai lalu, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Bagaimanapun, Petronas dalam kenyataannya memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.

Pada 12 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitarsi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Dalam kenyataannya kelmarin, Wan Junaidi berkata kesan daripada perintah penggantungan itu, Final Award yang diputuskan Dr Stampa tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat Kerajaan Malaysia.

Kerajaan Malaysia kini sedang membuat persiapan rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award itu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan