25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pasukan khas tangani isu tuntutan waris Kesultanan Sulu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JEMAAH Menteri telah bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya, bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap kerajaan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan khas yang diketuainya itu, dianggotai Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara, sedang menentukan terma rujukan (TOR) dan juga keahlian tambahan jika perlu, bagi pasukan khas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BHEUU dan Kementerian Luar akan bertindak selaku urus setia pasukan khas itu.

Wan Junaidi berkata kerajaan memandang serius isu yang mengganggu gugat kepentingan aset-aset negara di luar negara oleh waris Sultan Sulu, khususnya aset di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

“Justeru kerajaan akan mengambil tindakan proaktif dan agresif dalam menangani isu ini, demi mempertahankan aset dan kedaulatan negara,” kata Wan Junaidi.

Pada Selasa lepas, dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sulu, untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.-Bernama

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan