27.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

Pengasingan kuasa: Bersih beri tempoh setahun

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PASUKAN Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Khas Teknikal mempunyai tempoh setahun atau sebelum penghujung tahun 2024 untuk melaksanakan reformasi pengasingan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menunjukkan iltizam politik untuk melaksanakan usaha itu dengan memasukkan peruntukan kewangan yang bersesuaian dalam Belanjawan 2025.

“Kami ingin mencabar Perdana Menteri untuk secara terbuka mengisytiharkan bahawa pasukan petugas khas mempunyai tempoh tidak lebih daripada satu tahun.

“Keengganan untuk memberikan tempoh yang jelas akan menghasilkan persepsi umum bahawa pasukan petugas ini hanya sekadar mengalihkan kemarahan orang ramai terhadap DNAA (melepas tanpa membebaskan) Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) minggu lepas,”katanya menerusi kenyataan di sini.

Tegas Bersih, kos kewangan untuk pemisahan AG-PR tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melambatkan proses kerana ketidakyakinan umum terhadap proses kehakiman, kerajaan dan sistem politik adalah jauh lebih mahal.

“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan kedua-dua pasukan petugas khas dan prosiding serta membantu untuk memberikan dapatan kami dan berkongsi amalan terbaik.

“Pasukan petugas khas untuk kajian menyeluruh ini perlu melibatkan wakil daripada pertubuhan masyarakat sivil termasuklah Majlis Peguam dan ahli akademik yang pakar undang-undang seperti Shad Faruqi dan Andrew Yong.

“Bersih sebelum ini telah menghasilkan kajian berkenaan pemisahan AG dan PR yang ditulis oleh pakar undang-undang.

“Hasil laporan kajian tersebut Bersih mengesyorkan beberapa perkara berikut iaitu bagi mencegah pendakwaan jenayah daripada pengaruh politik atau pengaruh lain, PR perlu terdiri daripada pegawai berperlembagaan yang terpisah daripada AG.

“Memandangkan AG sebagai lantikan politik tanpa tempoh perkhidmatan tertentu, beliau tidak boleh memegang Pejabat Pendakwa Raya dan menjadi ahli mana-mana Suruhanjaya Perkhidmatan.

“Kuasa beliau hanyalah dalam ruang lingkup Jabatan Peguam Negara (AGC) dan tidak menjangkau Perkhidmatan Undang-Undang yang lain.

“Selain itu, tidak perlu ada perubahan besar dalam peruntukan untuk pemilihan dan tempoh perkhidmatan AG.

“Perdana Menteri (PM) perlu ada keanjalan untuk memilih calon terbaik jawatan AG dan jawatan Menteri Undang-Undang, Keadilan, dan sepatutnya boleh menggabungkan kedua-dua jawatan tersebut dalam satu individu, jika beliau rasakan sesuai.

Advertisements

“Namun demikian, Parlimen perlu ada hak untuk meminta PM menghantar nasihat beliau bagi mendapatkan kelulusan jawatankuasa parlimen,” katanya.

Kata Bersih lagi, sama ada AG menjadi ahli Kabinet atau perundangan atau tidak, beliau perlu menghadiri mesyuarat Kabinet sebagai rutin, dan perlu ada hak seperti menteri kabinet, untuk menyertai sebagai ex-officio dalam prosiding kedua-dua dewan Parlimen.

“Jika beliau dilantik menjadi Menteri Undang-Undang, Keadilan, maka beliau sudah tentu ahli salah satu Dewan tersebut.

“PR juga perlu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berdasarkan cadangan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan yang sesuai, yang mungkin selepas mempertimbangkan nasihat PM yang dikembalikan, sekurangnya sekali, kepada Suruhanjaya untuk pertimbangan.

“Parlimen perlu juga mempunyai hak untuk meminta PM, sebelum menasihati YDPA, menyerahkan nasihat beliau untuk kelulusan jawatankuasa parlimen.

“Dari segi lantikan, PR perlu dilantik untuk penggal tunggal selama lapan tahun, tertakluk kepada usia persaraan maksimum dan dengan tempoh perkhidmatan yang sama seperti Hakim Mahkamah Persekutuan.

“Parlimen, dalam menjalankan bidang kuasa perundangannya ke atas undang-undang dan prosedur jenayah, perlu mempunyai kuasa untuk meminta PR berunding dengan AG dalam kes tertentu, tetapi tidak perlu meminta PR untuk bertindak tertakluk kepada persetujuan atau di bawah arahan atau kawalan mana-mana pihak.

“Sebaliknya PR perlu menyerahkan laporan tahunan kepada Parlimen dan hadir dalam prosiding jawatankuasa parlimen apabila perlu untuk menjawab soalan atau memberikan bukti,”katanya.

Dalam pada itu, Bersih berkata, Parlimen juga perlu mempunyai kuasa untuk membenarkan agensi pakar (SPRM, Suruhanjaya Sekuriti, pihak berkuasa tempatan) untuk memulakan dan menjalankan pendakwaan bagi kesalahan khusus dalam bidang kuasa mereka.

“Namun PR perlu ada kuasa, dengan keizinan mahkamah atau agensi terbabit, untuk mengambil alih sebarang pendakwaan,”katanya.

Berikutan cadangan itu, Bersih berkata, pihaknya mendoakan pasukan petugas khas dan JPKP selamat bertugas dalam rangka mempercepatkan isu yang mustahak ini.

“Kepercayaan rakyat kepada Kerajaan Madani dan institusi awam kita bagai telur di hujung tanduk. Akhir kalam, kami ingin bertanya kepada Perdana Menteri: adakah saudara beriltizam untuk melaksanakan perkara ini sebelum Oktober 2024?,” soal Bersih. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan