33.6 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

PRN: MUDA dinasihat tidak terlalu tergesa-gesa

MUDA sepatutnya mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk bertanding sendirian dan patut bekerjasama dengan kerajaan perpaduan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dinasihatkan tidak terlalu tergesa-gesa dan patut bekerjasama dengan kerajaan perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung Ogos depan.

Susulan itu, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, berkata kepimpinan MUDA sepatutnya mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk bertanding sendirian dalam PRN ini bagi membantu merintis masa depan politik negara, khususnya dalam melaksana beberapa perubahan yang direncana untuk menjadikan Malaysia lebih baik.

“Malaysia berhadapan dengan peluang terakhir untuk kita tetapkan semula dan kembalikan negara kepada prinsip asal pembinaan negara majmuk yang diterapkan tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Penting untuk kita ingat dan tekankan yang ‘abang besar’ dalam Perikatan Nasional (PN), PAS, tidak pernah menyatakan sokongan terhadap Rukun Negara sebagai prinsip asas pembinaan sebuah Malaysia yang majmuk,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kit Siang berkata demikian mengulas keputusan MUDA untuk menyertai PRN di enam negeri kelak secara sendirian tanpa kerjasama dengan mana-mana gabungan politik termasuk Pakatan Harapan (PH).

Kelmarin, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, keputusan bertanding solo pada PRN enam negeri ini adalah untuk bertindak sebagai medium semak dan imbang dalam kerajaan sedia ada.

Advertisements

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, semua pihak perlu bertanggungjawab sama ada mahu menghentikan kemerosotan yang disaksikan negara dalam beberapa dekad lepas dan bangkit semula menjadi juara dunia dalam pelbagai bidang diceburi manusia atau sama ada Malaysia akan terjunam semula ke arah menjadi sebuah negara yang gagal, berpecah belah dan korup.

“Walau ada kekurangan dan kelemahan kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, adakah pengundi di negeri ini mahu melihat negeri mereka menjadi seperti Kelantan, Terengganu atau Kedah.

“Adakah mereka sebaliknya mahu melihat Kelantan, Terengganu dan Kedah menjadi seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, yang mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita di Pulau Pinang empat kali ganda lebih tinggi berbanding Kelantan,”katanya.

Kit Siang berkata, Malaysia tidak boleh hanya menjadi juara dunia, sebaliknya perlu menjadi contoh kepada dialog, persefahaman, toleransi dan keharmonian antara etnik, agama, budaya serta tamadun kepada dunia.

“Adakah PN yang membabitkan PAS dan BERSATU bersetuju dengan misi nasional ini. Malaysia mempunyai saiz populasi di tempat ke-45 terbesar dunia, tetapi sebelum ini, kita juga berada di tempat ke-20 dari segi jumlah kematian akibat COVID-19 ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

“Malaysia tidak mahu menjadi ‘juara dunia’ sebegini. Kita perlu capai lebih dari apa dijangkakan. Apa kita mahukan adalah pencapaian positif seperti memenangi Piala Thomas, acara Olimpik, mempunyai universiti terbaik, saintis dan pakar teknologi maklumat (IT) yang terbaik, malah untuk memenangi Anugerah Nobel,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia negara pertama terima visa haji – Mohd Na’im

MALAYSIA menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024 ini. Menteri...

Lagi Artikel Berkaitan