28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 21, 2023

Kisah silam telah lama dinoktahkan – Loke

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEGALA kisah silam termasuk perbalahan dan persengketaan antara 19 parti politik yang berada di bawah Kerajaan Harapan telah lama berakhir sejak kerajaan ditubuhkan pada Disember lalu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, isu persengketaan dan permohonan maaf tidak perlu dibuat kerana tidak ada sebarang isu yang timbul sejak mereka disatukan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pemimpin-pemimpin parti yang dilantik telah mewujudkan keserasian dalam dalam kalangan mereka.

“Tak perlu kita ulas lagi, seperti yang kita kata, kita telah bentuk kerajaan lebih enam bulan, jadi saya rasa kalau kita terus berpolemik dengan kisah-kisah silam, dengan kisah-kisah lama ia tidak akan berkesudahan.

“Kabinet telah berfungsi dan kita telah duduk dalam satu Jemaah Menteri setiap minggu dah enam bulan dan setakat ini tak timbul pun apa-apa isu mengenai keserasian dalam parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Loke mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO satu ketika dahulu.

Sementara itu, beliau berkata, daripada memikirkan atau memainkan sentimen seperti itu, adalah lebih baik parti dalam Kerajaan Perpaduan fokus dalam memajukan negara.

“Saya rasa semua parti berlapang dada dan pimpinan parti masing-masing telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk kita bersama-sama. 

“Saya rasa pandangan yang lain itu kita hormati tapi yang penting pimpinan masing-masing telah pun ada satu persefahaman yang begitu jelas,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Caprice nafi bayar Mondy demi ‘content’

PENYANYI rap, Caprice, menafikan dia membayar pempengaruh Indonesia, Mondy Tatto demi content atau menjatuhkan mana-mana individu. Caprice berkata, dia sudah memberi keterangan...

Lagi Artikel Berkaitan