MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh menaruh harapan lebih ramai atlet orang kurang upaya (OKU), dapat melibatkan diri secara aktif untuk terpilih membawa cabaran negara ke Sukan Olimpik Khas Dunia akan datang.
Bagi tujuan tersebut, beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini sedang giat menjalankan pencarian bakat atlet OKU, untuk memastikan Malaysia dapat menghantar lebih banyak penyertaan ke temasya sukan berprestij itu.
“Saya dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan melihat apa lagi bantuan, sokongan yang kementerian boleh beri kepada jurulatih khususnya kerana bukan mudah untuk melatih mereka (atlet OKU),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada atlet ke Sukan Olimpik Khas Dunia 2023 hari ini.
Terdahulu, Hannah mengumumkan seramai 16 atlet OKU bakal membawa cabaran negara ke Sukan Olimpik Khas Dunia di Berlin, Jerman yang akan berlangsung dari 17 hingga 25 Jun ini.
Sukan Olimpik Khas Dunia merupakan temasya sukan khusus bagi OKU yang mempertandingkan 26 acara termasuk badminton, olahraga, boling dan berbasikal.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, MSN sebelum ini menyalurkan dana sebanyak RM160,000, sebagai persediaan kontinjen negara ke Berlin.
Dalam pekembangan lain, beliau berkata MSN dan KBS sudah menyiapkan kertas kerja untuk penganjuran perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, yang dijangka diadakan September ini.
Tahun ini sedikit unik kerana bajet baharu sahaja diserahkan pada April (kerana Belanjawan 2023 dibentangkan pada Februari lepas) dan sebagainya. Tapi MSN masih sedia untuk mempersiapkan perlumbaan itu, dan kami sedang berusaha ke arah itu,”katanya. – BERNAMA