32 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

City tewaskan United, cipta kejuaraan berganda

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

MANCHESTER City meraih kejuaraan kedua musim ini selepas berjaya menewaskan musuh setempat, Manchester United 2-1 pada aksi final Piala FA yang berlangsung di Stadium Wembley malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan The Citizen meraih kejuaraan berganda selepas sebelum ini menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada minggu lalu.

Skuad bimbingan Pep Guardiola itu berpeluang memperoleh kejuaraan treble jika menang Liga Juara Juara Eropah (UCL) menentang wakil Itali, Inter Milan di final yang akan berlangsung di Istanbul minggu depan.

Dalam aksi di Stadium Wembley malam tadi, City berada di depan hanya 12 saat selepas wisel sepak mula ditiupkan.

Kapten, Ilkay Gundogan memulakan perlawanan dengan menghantar bola terus kepada Stefan Ortega dan penjaga gol itu terus menyepak jauh ke kawasan United.

Untuk rekod, itu merupakan jaringan final Piala FA terpantas mengatasi rekod 25 saat yang dicipta bekas penyerang United, Louis Saha pada 2008-09.

Namun, cubaan Victor Lindelof menadik bola keluar daripada kawasan bahaya sampai ke kaki Gundogan, pemain antarabangsa Jerman itu melepaskan satu rembatan voli menarik terus menerjah gawang sambil David De Gea hanya mampu memerhatikannya.

United bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti apabila bola terkena tangan Jack Grealish dan Bruno Fernandes tidak mempunyai masalah menyempurnakan sepakan tersebut untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Gundogan muncul wira City apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-51 apabila dia yang tidak dikawal melepaskan sepakan voli kaki kiri rendah yang tidak terjangkau oleh De Gea.

Ini merupakan kejuaraan ketujuh Piala FA dalam sejarah City dan kejuaraan berganda EPL-Piala FA kedua kelab sejak kali pertama melakukannya pada musim 2018-19.

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan