TERENGGANU seperti dijangka tidak berdepan masalah untuk menundukkan Perak 3-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh petang tadi.
Turun dengan misi tiga mata penuh, skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu memperoleh gol seawal minit keenam menerusi sentuhan penyudah, Adisak Kraisorn.
Bekas pemain sayap Melaka United, Sony Norde terus melebarkan kedudukan buat pelawat apabila meledak gol kedua pada minit ke-16 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Perak yang dikendalikan ketua jurulatih sementara, Yusri Che Lah cuba merapatkan jurang namun gagal menembusi kekebalan Suhami Husin yang menjaga gawang Sang Penyu.
Sebaliknya, Terengganu terus menambah derita Perak apabila menambah gol ketika menerusi jaringan penyerang import dari Ghana, Jordan Mintah pada minit ke-73.
Tiada tambahan jaringan dihasilkan sehingga 90 minit perlawanan sekali gus memberikan tiga mata berharga buat pelawat dan melonjakkan Terengganu keenam selepas memintas KL City.
Ini merupakan kekalahan kelapan Perak dalam 13 perlawanan sekali gus kekal di tangga ke-11 selepas hanya mengutip sembilan mata. – Edisi 9