26.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Usah munafik… Pas, Bersatu pun pernah bersama DAP

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

BUKAN main seronok puak-puak Pas dan Bersatu menghentam UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana bersama DAP di bawah Kerajaan Perpaduan pada masa kini.

Keseronokan mereka menjadikan kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) sebagai senjata utama kempen sampai lupa kalau mereka juga pernah bersama-sama DAP sebelum ini.

Pas menjalinkan kerjasama dengan DAP bersama PKR di bawah gabungan Pakatan Rakyat (PR) bagi menghadapi PRU pada 2008 dan 2013 dulu.

Manakala Bersatu pula bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah dalam PRU 2018 menghadapi BN.

Ketika bersama PR, Pas bukan main lagi mempertahankan apa sahaja tindakan pemimpin dan parti ‘kawan-kawan mereka’ baik PKR mahupun DAP dalam pelbagai isu.

Tentu anda semua masih ingat bagaimana Hadi Awang mengeluarkan ‘fatwa politik’ mempertahankan kes membabitkan Anwar Ibrahim apabila menyatakan “video besi, tak boleh jadi saksi.”

10 tahun lalu, Hadi pernah bersetuju dengan Majlis Pimpinan Tertinggi PR yang memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam asalkan tidak disalahgunakan oleh pihak tertentu.

Muhyiddin dan Bersatu pernah tidur sebantal sebelum ini.

Tapi biasalah Pas dan pemimpin mereka akan mengeluarkan hujah dan dalil berdasarkan kepentingan politiknya. Berbaik dengan DAP akan guna hujah A, menentang DAP guna hujah lain pula.

Begitu juga semasa bersama UMNO sekejap di bawah piagam Muafakat Nasional (MN) akan guna hujah B, tapi bila mereka diam-diam menjalin hubungan sulit dengan Bersatu, mereka guna pula hujah lain.

Bukankah itu ciri-ciri orang munafik?

Bersatu dan Muhyiddin juga tidak kurang munafiknya. Dalam PRU 2018 mereka pun duduk di bawah gabungan PH, iaitu gabungan parti yang sama hari ini semata-mata nak jatuhkan kerajaan BN dan mereka berjaya.

Malahan Muhyiddin juga menjadi menteri kanan di bawah kerajaan 22 bulan PH ketika itu sebelum beliau dan ahli-ahli Parlimen mereka berpaling tadah sehingga kerajaan pilihan rakyat itu tumbang.

Akhirnya siapa yang untung daripada tindakan mereka? Muhyiddin dan puak-puak mereka apabila berjaya membentuk kerajaan sendiri manakala dia sendiri jadi PM.

Itupun atas restu dan sokongan Zahid serta UMNO juga walaupun sedar Pas dan Bersatu sebelum ini adalah musuh-musuh politiknya.

Maknanya dalam hal ini, Pas dan Bersatu menganggap orang lain tidak layak bekerjasama dalam politik, cuma mereka sahaja yang layak.

Sebabnya mereka menganggap hanya mereka parti yang suci murni macam malaikat dan boleh berkawan dengan siapa sahaja waima dengan syaitan sekali pun.

Advertisements

Saudara, harus diingat UMNO dan BN hari ini bekerjasama atas nama Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Bersatu dan Pas enggan bekerjasama dengan PH walaupun parti-parti mereka mempunyai lebih banyak kerusi selepas PRU15 lalu dan membentuk kerajaan yang kukuh.

konvensyen nasional kerajaan perpaduan
Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi bersama para pemimpin parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan. – Foto: Edisi 9

Kesombongan dan keangkuhan PN menolak titah Yang di-Pertuan Agong agar mereka membentuk kerajaan perpaduan itulah yang menyebabkan PH terpaksa mengharapkan UMNO untuk membentuk kerajaan hari ini.

Dan UMNO sebagai parti yang menghormati raja-raja Melayu, sedia untuk bekerjasama dengan PH walaupun sedar di dalamnya ada DAP.

Itupun selepas mereka “datang meminang” secara rasmi di PWTC, rumah UMNO bukannya cuba membawa lari ahli-ahli Parlimen UMNO ikut pintu belakang sepertimana dilakukan oleh Muhyiddin dan PN.

UMNO tunduk, sembah DAP?

Kalau benar UMNO tunduk kepada DAP dalam Kerajaan Perpaduan, DAP tidak akan datang “menyembah” UMNO ketika kali pertama mengajak parti keramat Melayu itu untuk bergabung dalam kerajaan.

Dan para pemimpin DAP juga tidak akan datang “berlutut” kepada UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.

Itulah bezanya kerjasama UMNO dengan DAP di bawah Kerajaan Perpaduan yang dilakukan demi kestabilan negara, bukannya seperti dibuat Pas dan Bersatu untuk menjatuhkan kerajaan yang akhirnya memberi kesan negatif berpanjangan kepada negara dan rakyat.

UMNO gadai maruah kerana DAP?

UMNO sebenarnya sudah menggadai maruahnya apabila bersetuju untuk bersama Bersatu dan Pas membentuk kerajaan selepas tumbangnya kerajaan PH pada 2021 lalu.

Masakan tidak, semua maklum bagaimana Bersatu yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin UMNO yang kecewa dan berhasrat menggantikan parti itu.

Manakala Pas pula ketika itu sudah menikam UMNO dari belakang, apabila secara diam-diam berbaik dengan Bersatu dan membentuk PN ketika sedang bahagia bersama UMNO di bawah MN.

Kalau UMNO tidak gadai maruahnya ketika itu nescaya Muhyiddin tidak akan jadi Perdana Menteri dan Hadi pun tidak akan merasai nikmat menjadi Duta Khas.

Tapi segala dilakukan oleh Zahid Hamidi dan UMNO adalah demi agama, bangsa dan tanah air. UMNO tidak mahu melihat negara porak-peranda angkara politik sehingga sanggup menjalin kerjasama dengan musuh mereka.

Situasa sama pasca-PRU15 apabila Seri Paduka Baginda menitahkan parti-parti politik membentuk kerajaan perpaduan, UMNO menyambutnya dengan tangan terbuka walaupun sedar mereka perlu melanggar janji dan prinsip – No Anwar, No DAP sebelum itu.

Jadi, Bersatu dan Pas usahlah menggunakan kerjasama dengan DAP sebagai senjata untuk menyerang dan meraih sokongan undi rakyat kerana akhirnya ia akan berbalik kepada diri sendiri.

Ingatlah, sesungguhnya Allah melaknati golongan munafik!

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan