“LUAR biasa,” itu kata yang ditafsirkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila ditanya mengenai gesaan supaya ahli UMNO menyokong calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, gesaan itu turut disifatkan sangat janggal kerana bertentangan dengan prinsip perjuangan parti itu sendiri.
“Bagaimanapun, terserah kepada ahli parti itu sama ada menyahut gesaan itu atau sebaliknya.
“Ini satu perkara yang agak luar biasa kerana kita tahu siapakah DAP sebenarnya. Selama hampir 40 tahun saya berada dalam UMNO, ini kali pertama saya dengar pemimpin mereka suruh sokong DAP,”katanya ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidifitri Parlimen Pagoh dan DUN Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh, hari ini.
Ditanya sama ada gesaan mengundi calon DAP disebabkan UMNO terdesak, Muhyiddin berkata, mereka tahu tindakan diambil pemimpin UMNO khususnya Presidennya, membuatkan parti itu seolah-olah sudah sampai penghujung hayat.
“Mereka (pemimpin UMNO) membuat kenyataan bercanggah dengan dasar dan perjuangan UMNO. PRN akan datang akan membuktikan bahawa sebahagian besar orang Melayu tidak lagi menyokong perjuangan UMNO.
“Saya tahu kerana pernah menjadi Timbalan Presiden UMNO dan semua yang berlaku hari ini bercanggah, bertentangan dan tidak sehaluan dengan matlamat perjuangan asal.
“Carilah mana-mana yang boleh berbaki sokongan itu, menyokong UMNO, tapi saya jangka sebahagian besar orang Melayu yang waras dan mendokong perjuangan UMNO, tidak akan mengikut seruan pemimpin mereka kerana bercanggah dengan dasar dan amalan parti itu,” katanya.
Semalam, Ahlli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta ahli parti itu menyokong calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan. – Edisi 9