29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kumpulan pertama 284 jemaah haji berlepas ke Tanah Suci

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUMPULAN pertama yang terdiri daripada 284 jemaah haji Malaysia telah berlepas ke Tanah Suci pada awal pagi Ahad dengan penerbangan Malaysia Airlines.

Penerbangan Malaysia Airlines MH8056 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah itu akan berlepas pada 2.05 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada 5.50 pagi waktu tempatan.

Majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman serta Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Syed Hamadah berkata, seramai 31,600 jemaah haji yang merupakan kuota penuh rasmi negara akan berlepas ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima tersebut.

“Alhamdulillah, operasi haji tahun ini sudah kembali seperti sebelum wabak COVID-19 melanda. Insya- Allah, TH telah bersedia menyantuni kesemua jemaah haji negara dengan kerjasama petugas haji termasuk kakitangan dari agensi lain bagi memastikan perjalanan mereka lancar,” katanya.

Bagi tahun ini, hari wuquf iaitu 9 Zulhijah dijangka jatuh pada Selasa iaitu 27 Jun ini.

Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula pada 21 Mei manakala penerbangan pulang terakhir ialah pada 1 Ogos depan.

Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines pada tahun ini berbanding 48 bagi 2022.

Lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri antaranya di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan KLIA.- BERNAMA

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan