JIKA ada mana-mana ahli Parlimen pembangkang mendakwa sudah mempunyai nombor yang mencukupi untuk membentuk kerajaan dan menumbangkan Kerajaan Perpaduan bolehlah buktikannya di Parlimen.
Demikian menurut ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil.
“Baru tadi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kata kalau sesiapa cukup nombor untuk bentuk kerajaan boleh buktikan di Parlimen dan tukarlah kerajaan.
“Saya saran kepada Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Haji Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang), dan Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) dan mana-mana ahli Parlimen yang seangkatan dengan mereka supaya pergilah kumpul dan tunjuk SD (akuan sumpah berkanun) dan bawa ke Parlimen dan Istana.
“Buktikan yang kamu ada sokongan dan bukan sekadar kaki sembang. Saya tidak rasa kerajaan hari ini akan isytihar darurat seperti mana yang Muhyiddin buat dulu apabila dia hilang sokongan,”katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Isham berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa Perikatan Nasional (PN) menunjukkan sudah mempunyai cukup sokongan di Parlimen dan Istana.
Sebaliknya, ujar Isham, beliau menggesa supaya PN fokus sahaja untuk jadi pembangkang yang membina.
“Biar kerajaan hari ini buat kerja dan stabilkan ekonomi. Sebab setiap kali pertukaran kerajaan cara pintu belakang atau waima acah-acahan berkenaannya ia akan menggugat kestabilan politik dan merencat keadaan ekonomi. Yang susah adalah rakyat,”katanya.
Ujarnya, pembangkang dilihat sangat terdesak untuk menukar kerajaan.
“Saya tahu kamu terdesak mahu tukar kerajaan sebab kamu mahu lari dari pendakwaan mahkamah dan kamu ingin menyelamatkan Muhyiddin dan tengkok kamu sendiri dari didakwa dan di penjara.
“Nasihat saya ialah hadap sahajalah pendakwaan dan proses mahkamah ini dan jawab dihadapan hakim.
“Pemimpin UMNO ramai yang sudah melalui proses ini sebelum ini, kamu tidak boleh terkecuali.
“Kamu perlu bertanggungjawab ke atas apa yang kamu buat semasa kamu berkuasa.
“Tiada siapa yang terkecuali dari proses pengadilan dan kebertanggungjawaban ini,”katanya.-Edisi 9