33.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

Sony ledak 2 gol bantu Terengganu bangkit ikat Sabah

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PEMAIN import, Sony Norde menjadi penyelamat apabila dua jaringannya pada setiap babak memastikan Terengganu FC mengikat Sabah FC 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas malam tadi.

Sabah menceriakan ribuan penyokong di Likas dengan gol pertama pada minit ke-28 menerusi gol tandukan Telmo Castanheira hasil daripada sepakan percuma Baddrol Bakhtiar.

Tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-36 selepas bola hantaran silang Daniel Ting terkena tangan pertahanan Terengganu, Sardor Kulmatov.

Pengadil pada mulanya memberikan isyarat sepakan penjuru namun mengubah keputusan dalam beberapa saat dengan menghadiah sepakan penalti.

Keputusan itu nyata membangkit rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain Terengganu sehingga layangan kad kuning diberikan pengadil kepada Habib Haroon kerana tindakannya memprotes.

Namun, keputusan kekal dengan Darren Lok tidak mempunyai masalah menyempurnakan sepakan itu pada minit ke-37 untuk meletakkan Sabah selesa 2-0 di depan.

Advertisements

Sony Norde merapatkan jurang pada masa kecederaan babak pertama menerusi satu sepakan percuma jarak jauh cantik menewaskan bekas rakan sepasukannya di Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-52 menyaksikan sepakan lencong pemain sayap, Syafiq Ismail hanya sedikit melewati palang gol.

Sementara itu, penjaga gol Terengganu, Mohd. Suhaimi Husin pula cemerlang menafikan tandukan Gabriel Peres hasil sepakan penjuru pada minit ke-80 bagi memastikan peluang kebangkitan masih terbuka.

Dan pada minit keempat waktu kecederaan, Sony menjadi wira Terengganu apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma sekali gus memastikan kelabnya membawa pulang satu mata ke Kuala Terengganu.

Terengganu kekal di tangga kesembilan Liga Super dengan 14 mata sementara Sabah terlepas peluang melonjak ke tangga kedua selepas hanya mengutip 21 mata daripada 11 perlawanan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zii Jia tamatkan kemarau gelaran, juarai Terbuka Thailand

PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia menamatkann kemarau gelaran selama tujuh bulan apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka...

Lagi Artikel Berkaitan