PELUANG Manchester City untuk melangkah ke final Liga Juara Juara Eropah (UCL) kian terbuka selepas berjaya mengikat penyandang juara, Real Madrid 1-1 di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.
Keputusan itu meletakkan City di kedudukan terbaik untuk mara ke final sejak 2020-21 apabila akan melayan kunjungan skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu Rabu depan.
Dalam aksi di ibu kota Madrid, Vinicius Jnr. meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-36 hasil gerakan berpasukan yang dimulakan Eduardo Camavinga dan Luka Modric.
Namun, Kevin De Bruyne membuktikan ketajaman penyudahnya apabila melepaskan satu rembatan padu dari luar kawasan penalti untuk menyamakan kedudukan buat City.
Pengendali City, Pep Guardiola berkata, aksi Rabu nanti diibaratkan final selepas kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga dalam perlawanan awal pagi tadi.
“Mereka sangat bagus, berpengalaman dan berkualiti tetapi sama juga seperti kami.
“Kami mempunyai saat yang bagus tetapi berdepan kesukaran terutama kualiti yang dimiliki mereka ketika menguasai bola.
“Tetapi (dengan keputusan) 1-1, final Rabu depan dan (akan beraksi) di laman kami dengan (sokongan) penyokong. Harapnya kami dapat belajar untuk bertahan dan menyerang dengan lebih baik,” katanya kepada BT Sport selepas perlawanan.
Satu lagi aksi separuh akhir UCL akan berlangsung pagi esok membabitkan dua seteru Milan, Inter dan AC. – Edisi 9