MIKEL Arteta memohon maaf dengan menyifatkan ‘hari yang sangat menyedihkan’ selepas harapan Arsenal untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris berkecai selepas tewas 1-0 di Nottingham Forest.
Kekalahan ini memberi laluan buat Manchester City merangkul kejuaraan EPL buat tiga musim berturut-turut.
Jaringan separuh masa pertama Taiwo Awoniyi meranap impian Arsenal sekaligus menyaksikan Forest memperoleh tiga mata yang memastikan status liga teratas mereka.
The Gunners, yang beraksi konsisten di awal saingan, menghabiskan 248 hari di puncak liga dan mendahului lapan mata ke atas City pada bulan Mac.
Namun, anak buah Mikel Arteta gagal mengekalkan momentum dengan hanya merekodkan tiga kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir mereka.
Kejatuhan prestasi The Gunners menyaksikan mereka dipintas oleh skuad kendalian Pep Guardiola yang merangkul kejuaraan kelima dalam enam musim.
Prestasi baik Arsenal dari awal musim menyaksikam tiada pasukan yang menghabiskan lebih banyak masa di puncak liga.
Oleh itu, kegagalan Arsenal merangkul kejuaraan menyebabkan Arteta cukup kecewa.
“Hari yang sangat menyedihkan, terlalu banyak emosi, kami kalah dalam perlawanan itu, kami kehilangan kejuaraan selepas berjuang untuk tempoh yang panjang,” katanya.
“Kami membina banyak ilusi dan kepercayaan bahawa kami boleh memenanginya dan akhirnya kami gagal. Tahniah kepada Man City, mereka adalah juara, mereka layak menjadi juara, mereka telah melakukannya selama 38 perlawanan, kami tidak dapat melakukannya.
“Itu sahaja dan daripada pihak saya memohon maaf kerana kami telah membina kepercayaan bahawa kami boleh melakukannya dan akhirnya pasukan tidak dapat melakukannya dan itu adalah tanggungjawab saya.
“Kami gagal dan ini adalah tugas dan tanggungjawab saya, saya perlu menganalisis dan berfikir.
“Hari ini kami sepatutnya bermain lebih baik, kami memberi mereka satu gol dan memberi mereka peluang sekali lagi untuk menjaringkan gol lain jika mereka mahu dan kami gagal untuk menghalang pasukan lawan,” kata Arteta.
Untuk rekod, kali terakhir Arsenal bergelar juara EPL pada tahun 2004 di musim ‘Invisibles’ di mana Arsene Wenger membimbing The Gunners juara tanpa sebarang kekalahan sepanjang musim. – Edisi 9