BEKAS pekerja kilang, Amir Karim terpaksa menjalankan perniagaan jualan but kereta apabila perniagaan makanan kebab yang dijalankan sebelum ini terpaksa ditutup apabila isteri mengalami alahan terhadap makanan itu ketika mengandung.
Dia yang sudah empat tahun menjalankan perniagaan dari but keretanya itu dengan memfokuskan kepada barangan pengguna seperti sabun cuci, tali pinggang, pewangi badan, wangian kereta, beg, mainan dan topi keledar kanak-kanak.
Amir yang berasal dari Bandar Baru Sungai Buloh berkata, dia pada mulakan menjalankan perniagaan jualan makanan kebab setelah berhenti kerja kilang.
“Pada mulanya, sebelum pernigaan ini (jualan dari but kereta) saya berniaga masakan makanan kebab.
“Disebabkan isteri mengalami alahan teruk semasa mengandung dan sensitif terhadap bau masakan saya ubah jenis pernigaan saya ke arah ini,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Dia kini menjalankan perniagaan di Bandar Baru Sungai Buloh, berhampiran ST Rosyam Mart dari 8.30 pagi hingga 11 pagi.
Amir yang kini menjadi ejen jualan sabun pakaian turut menjalankan perniagaan di kawasan berhampiran pada 8 malam hingga 11.30 malam.
Bagaimanapun, katanya, hasil jualannya agak berkurangan kebelakangan ini kerana faktor ekonomi yang agak perlahan .
Katanya, dia percaya kurang kuasa membeli daripada pengguna selain tapak perniagaan yang kurang mendapat sambutan menjadi punca kelembapan jualannya.
“Walaupun sebelum ini persaingan perniagaan dalam talian memang ada namun jualan masih memberangsangkan tetapi kali ini nampak kekurangannya.
“Sejak lepas PKP ramai orang dah kurang keluar rumah pada waktu malam. Kedai 24 jam pun kurang beroperasi selepas tengah malam”. – Edisi 9