MALAYSIA menyenaraikan empat pemain senior daripada senarai 18 pemain dalam misi mempertahankan pingat emas acara hoki Sukan SEA Kemboja 2023 selepas kali terakhir dipertandingkan pada 2017.
Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berkata, Malaysia membariskan 14 pemain muda dan akan diperkuat dengan empat pemain senior yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa.
Empat pemain berkenaan adalah penjaga gol, Mohd. Zaimi Mat Deris, Muhammad Amirul Hamizan Azahar (pertahanan), Muhammad Najib Abu Hassan (tengah) dan Muhamad Ramadan Rosli (penyerang).
Pasukan itu telah melakukan persiapan rapi Sukan SEA 2023 termasuk menyertai siri Jelajah Perth, Austalia.
Ketua Jurulatih Hoki Remaja Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim berkata, persiapan pasukannya kini berada di tahap terbaik dan pemainnya telah bersedia sepenuhnya menjelang aksi pembukaan menentang tuan rumah, Kemboja.
“Kami sentiasa mengingatkan pemain untuk tidak memandang rendah kekuatan yang dimiliki setiap pasukan bertanding. Pemain perlu turun dengan satu pemikiran yang betul selain memiliki mentaliti untuk menang pada setiap perlawanan.
“Kami datang ke Kemboja dengan strategi ‘serampang dua mata’ keran akan menggunakan temasya ini sebagai salah satu persiapan menjelang Kejohanan Piala Remaja Asia (Lelaki) di Salalah, Oman yang akan bermula 23 Mei nanti.
“Saya berharap pemain akan memberikan aksi terbaik dan menggunakan temasya ini dengan sebaiknya bagi persiapan terakhir menuju ke Kejohanan Piala Remaja Asia,” katanya.
Ini merupakan kali pertama Muhamad Aminmenggalas tanggungjawab selaku ketua jurulatih bagi acara hoki padang di Sukan SEA.
Acara Hoki Padang Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja akan membuka tirai pada 9 hingga 16 Mei 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo. – Edisi 9
Berikut merupakan senarai 18 pemain skuad hoki lelaki negara untuk Sukan SEA Kemboja 2023:-