25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Tercicir bantuan: Mangsa banjir Terengganu lapor SPRM?

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEBERAPA mangsa banjir di Kampung Alor Limbat, Marang, Terengganu dilapor telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa wujud penyelewengan bantuan banjir di negeri itu.

Sebuah portal berita, Terengganu Coverage (TC) melaporkan, mangsa telah mengutuskan surat kepada pihak SPRM Cawangan Kuala Terengganu berhubung perkara itu pada 12 Mac lalu.

Berdasarkan surat aduan tersebut, pengadu mendakwa sebahagian mangsa banjir telah dinafikan hak untuk menerima bantuan daripada pihak berwajib. 

“Orang yang layak tidak diberi bantuan sedangkan orang tidak layak menerima bantuan tersebut. Kami merasakan hak kami dinafikan dan ada kebocoran dalam agihan tersebut,” kata pengadu menerusi surat tersebut yang disiarkan oleh TC hari ini.

Turut dilampirkan bukti-bukti bergambar yang menunjukkan rumah mereka yang terlibat dengan banjir.

Surat aduan mangsa banjir kepada SPRM Cawangan Kuala Terengganu. – Sumber: Terengganu Coverage

Bagaimanapun nama pengadu tidak didedahkan oleh media terbabit. 

Isnin lalu, Edisi 9 melaporkan, beberapa mangsa banjir di Kemaman akhir tahun lalu menagih bantuan yang dijanjikan oleh kerajaan negeri.

Seorang mangsa dikenali Sam Samieyza menerusi Facebook mendakwa, dia bukan sahaja tidak menerima bantuan yang dijanjikan, malah lebih hairan apabila nama dan nombor rumahnya didapati ‘hilang’ daripada senarai penerima.

Advertisements

Lebih mendukacitakan, katanya dalam Facebook Bandar Chukai Kemaman (Original), dia ditendang ‘bagai bola’ apabila diarah untuk merujuk tuntutannya ke sana dan ke sini dengan masing-masing bagai melepaskan tangan.

Pada 21 Disember tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan bantuan segera banjir masing-masing sebanyak RM50 juta kepada Terengganu dan Kelantan yang terjejas teruk bagi meringankan beban mangsa.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pada 26 Disember berkata, Bantuan Khas Tunai RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di negeri itu dijangka mula diagihkan pada Januari hingga Februari 2023.

Beliau berkata, proses tersebut akan mengambil sedikit masa kerana pihaknya perlu meneliti serta mendapatkan senarai mangsa daripada jabatan serta agensi yang bertanggungjawab menyelaraskan urusan berkenaan.

Difahamkan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setiap kampung diberi kuasa oleh kerajaan negeri untuk menilai kelayakan calon penerima bantuan.

Pihak JPKK akan mengesahkan sama ada mereka benar-benar terbabit dengan banjir ataupun sebaliknya sebelum nama mereka diserahkan kepada kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk proses pemberian bantuan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan