PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian tol percuma Rahmah kepada semua kelas kenderaan sempena Aidilfitri.
Beliau berkata, pengecualian bayaran tol di seluruh negara itu diberikan selama empat hari membabitkan tempoh antara 19 hingga 21 April dan 24 April ini.
“Kerajaan bersetuju melaksanakan tol Rahmah percuma selama empat hari untuk dinikmati semua pengguna jalan raya. Pelaksanaan tol percuma ini melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.
“Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Perdana Putra, di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. – Edisi 9