29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Persatuan Bekas Pegawai SPRM seru sokong PM perangi rasuah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERSATUAN Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan sokongan terhadap usaha membanteras budaya rasuah dan salah guna kuasa.

Presidennya, Datuk Mazlan Mohamad berkata, ini sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjamin kestabilan negara.

“Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong usaha Perdana Menteri dan menggesa semua pihak memainkan peranan dalam memerangi rasuah dengan melaporkannya kepada SPRM jika ada berlaku perbuatan rasuah ataupun menyalahgunakan kuasa.

“Selain itu, kita tidak boleh meletakkan usaha untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa ini di bahu kerajaan dan pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya perlu digembeling secara bersama oleh seluruh lapisan bagi memastikan rasuah ini hilang daripada norma masyarakat kita,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Semarak Kasih Ramadan bersama Pertubuhan Gagasan Generasi Profesional (GGP) dengan kerjasama Surau Al Muhajirin Bukit Mahkota, Bangi bagi menyantuni 72 orang asnaf dan 30 anak-anak yatim serta penduduk setempat.

Program berkenaan diadakan bertujuan meraikan golongan asnaf dan anak-anak yatim bagi memastikan mereka tidak merasa terpinggir khususnya di bulan Ramadan ini.

Dalam perkembangan program berkaan, Mazlan berkata, golongan asnaf dan anak-anak yatim tidak harus dipinggirkan dalam merasai kemeriahan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu bertujuan membangkitkan kesedaran kepada mereka yang mampu untuk berkongsi rezeki serta kasih sayang dengan golongan sasar.

“Ia juga salah satu program yang boleh memberi impak yang baik kepada masyarakat untuk membantu golongan ini. Diharap ia akan menjadi program yang berpanjangan dari masa ke masa,” katanya. 

Advertisements

Sementara itu, Presiden GGP, Datuk Sr. Nasir Saari berkata, pertubuhan GGP memberi fokus dalam mengutarakan idea, cadangan dan resolusi terhadap pelbagai isu dan dasar kerajaan khususnya yang melibatkan generasi muda profesional, menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan dan agensi kerajaan.

Menurutnya, pertubuhan itu juga bermatlamat untuk memupuk semangat kerjasama dan bantu-membantu dalam kalangan ahli dengan golongan muda bagi melahirkan generasi yang berhemah tinggi selain mengadakan aktiviti yang dapat mengeratkan perpaduan, meningkatkan kesetianegaraan dan mewujudkan kesedaran untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi membina dan memajukan negara.

“Selain itu, GGP juga mengadakan aktiviti untuk ahli-ahli dalam bidang kebudayaan, sukan, kerohanian, ekonomi, pendidikan, kenegaraan dan lain-lain serta memberi peluang kepada ahli-ahli terlibat dalam program latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan,” katanya.

“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Persatuan Bekas Pegawai SPRM dalam memupuk masyarakat bagi menggalakkan aktiviti-aktiviti menyatuni golongan asnaf dan anak-anak yatim.

Menurut beliau lagi, program kemasyarakatan yang dilaksanakan itu jelas dapat menjalinkan ukhuwah silaturrahim antara rukun tetangga terutama sekali mereka dari golongan asnaf dan anak-anak yatim setempat.

“Program ini merupakan inisiatif dalam memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan,” katanya lagi,” katanya.

Untuk rekod, GGP yang ditubuhkan pada Februari 2018 merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengumpulkan generasi muda daripada golongan profesional di seluruh negara.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan