KERAJAAN mempertimbang untuk mewujudkan Akta Pembelaan Awam khusus bagi perkhidmatan bantuan guaman untuk kes jenayah di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said berkata, kerajaan juga sedang mengenal pasti sekiranya terdapat keperluan untuk mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam di Malaysia.
Susulan itu, beliau berkata, kedua-dua perkara itu adakan dibincangkan dalam penganjuran Program Libat Urus Bantuan Guaman Bagi Kes Jenayah di Malaysia yang akan berlangsung pada 11 dan 12 April.
“Sesi libat urus ini diharapkan dapat mengumpul input dan pandangan daripada peserta mengenai beberapa persoalan dasar berkaitan dengan kesesuaian mewujudkan akta khusus untuk perkhidmatan bantuan guaman bagi kes jenayah di Malaysia.
“Kesediaan ke arah penggubalannya, keterbatasannya, kebaikannya, cabaran pelaksanaannya dan mengenal pasti jika terdapat keperluan untuk mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2023 lalu menyatakan kerajaan akan meniliti untuk menggubal akta khusus bagi menawarkan bantuan guaman percuma bagi kes jenayah supaya rakyat susah turut mendapat akses kepada keadilian.
Ketika ini, terdapat beberapa penyedia perkhidmatan bantuan guaman utama bagi kes-kes jenayah di Malaysia termasuk Jabatan Bantuan Guaman (JBG); Legal Aid Centre yang dikendalikan oleh Majlis Peguam; Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan Klinik Bantuan Guaman yang dikendalikan pihak Universiti.
Mengulas mengenai program, beliau berkata, itu merupakan medan perkongsian ilmu pengetahuan dan penjelasan mengenai perkhidmatan bantuan guaman di Malaysia, isu-isu serta cabaran yang dihadapi dan hala tuju perkhidmatan bantuan guaman bagi kes-kes jenayah di Malaysia.
“Kita meneliti keperluan menggubal Akta Pembelaan Awam dan cadangan mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam bagi menambahbaik serta mereformasikan perkhidmatan bantuan guaman kes jenayah di negara ini,” katanya. – Edisi 9