AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh mengakui jawatan baharu yang disandang sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memberi tanggungjawab yang lebih besar terhadapnya.
Bagaimanapun beliau berjanji akan melaksanakan tugas sehabis baik menerajui portfolio berkenaan.
Dr Akmal sebelum ini menjadi Exco Kesihatan berkata, jawatan baharu itu berbeza dan memberi tanggungjawab yang lebih besar.
“Dari menjaga doktor, MA (pembantu perubatan) dan nurse (jururawat) kepada menjaga petani, nelayan dan semua orang kampung di dalam Melaka.
“Satu tanggungjawab yang lebih besar. Doakan Allah permudahkan segala urusan kami.
“Saya serahkan segala jiwa dan raga untuk melakukan sehabis baik saya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Hari ini, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO bersama sembilan Adun Melaka yang lain mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri, di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka itu diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Upacara lantikan barisan Exco dibuat selepas lima hari Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Ketua Menteri. – Edisi 9

