31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

DAP jangan main api soal kedaulatan negara

Jika ini kualiti Ahli Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri kepada Menteri Luar, saya cadangkan kepada Menteri Luar untuk memecatnya.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEBODOHAN dan kedangkalan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) khususnya Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How dalam memahami isu kedaulatan perairan Malaysia di Laut China Selatan sangat membimbangkan.

Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sebagai Ahli Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri kepada Menteri Luar Negeri, Howard sepatutnya tegas dalam mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia.

“Mana mungkin wilayah negara boleh dibawa ke meja rundingan!

“Kita semua tahu bahawa China berhasrat agar negara-negara ASEAN yang terlibat dalam tuntutan bertindih Laut China Selatan menerima solusi ‘nine-dash line‘ yang amat jelas sekali ditentang keras oleh negara-negara terlibat termasuk Malaysia.

“Tuntutan tidak berasas China ini merangkumi dalam 80 peratus daripada keseluruhan Laut China Selatan yang kaya dengan minyak mentah, gas asli dan sumber laut lainnya.

“Mungkin Howard perlu google dan lihat kedudukan geografi ‘nine-dash line‘ ini dan berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan,”katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Beliau menegaskan, Howard sepatutnya menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk lebih tegas dan jantan dalam mempertahankan hak Malaysia seperti yang dilakukan oleh mantan Menteri Luar Negeri, Datuk Sri Saifuddin Abdullah sebagaimana dilaporkan oleh Al-Jazeera pada 21 Disember 2019.

“Beliau dilaporkan berkata; “For China to claim that the whole of South China Sea belongs to China, I think that is ridiculous. It is a claim that we have made, and we will defend our claim.”

“Pendirian Malaysia sebelum ini amat jelas bahawa kita akan mempertahankan hak kita di Laut China Selatan tanpa menjejaskan hubungan baik dua hala Malaysia-China,”katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, China adalah rakan dan sekutu besar kita dari dulu, sekarang dan akan datang.

“Takdir geografi meletakkan kita dan China sebagai jiran tetangga yang amat penting. Tetapi itu tidak bermakna perbezaan pendapat dan pendirian dalam soal geopolitik perlu melenturkan “posture” kita dalam diplomasi seperti yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Tegas, hemah dan berhati-hati dalam menuturkan pendirian kita di hadapan mereka dan dunia.

“Itu yang dibuat oleh Almarhum Tun Razak ketika bertemu dengan mendiang Mao Tse Tung dan Zhou Enlai: Kita berkawan dengan China tapi anasir Komunisme di Malaysia ditangani cara kita sendiri dan China diminta jangan campur tangan usaha Malaysia menentang pengganas komunis,”katanya.

Ujar beliau lagi, pemimpin Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional dari dulu lagi tidak akan berkompromi sama sekali isu membabitkan Laut China Selatan.

“Kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang pada ketika itu merupakan Timbalan Menteri Luar Negeri menyatakan tuntutan ‘nine-dash line’ itu tidak selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 atau United Nations Convention on the Law of The Sea 1982 harus difahami.

“Adakah Howard tak pernah baca Konvensyen ni atau memang tak tahu?

“Adakah Howard tidak peka dengan keputusan Tribunal Timbangtara di The Hague pada 13 Julai 2016 yang telah menolak tuntutan China berdasarkan hujah ‘nine-dash line‘ terbabit?

“Dalam kes tersebut, tribunal mendapati “There was no legal basis for China to claim historic rights to resources within the sea areas falling within the ‘nine-dash line”.

“Jika Howard mengambil sedikit masa untuk membelek penghakiman setebal 497 muka surat itu, mungkin Howard akan menyedari bahawa dirinya telah nampak bodoh dan beliau patut malu pada dirinya sendiri akibat daripada kebodohan itu.

“Ini kerana tribunal antarabangsa di The Hague sendiri sudah menyatakan dengan jelas kedudukan dan hak negara-negara di sekitar Laut China Selatan termasuklah Malaysia,”katanya.

Dalam masa sama, Wan Ahmad Fayhsal turut menyoal siapa Howard nak bercanggah pandangan dengan tribunal antarabangsa.

“Atas dasar apa? Ternyata kenyataan kurang cerdik Howard ini bertentangan dengan kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengatakan;” Kita tak boleh mengatakan Laut China Selatan ini kawasan bertindih. Itu salah,

“Laut China Selatan ini adalah laut yang mana kita telah pun buat sebagai ZEE negara”. Begitu juga dengan kenyataan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul kadir yang dengan jelasnya menegah mana-mana Ahli-ahli Dewan daripada menggunakan istilah disputed area (tuntutan bertindih)

“Nah, sekarang kebodohan yang dilemparkan Howard terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali terpalit di wajahnya sendiri, bukan dilemparkan oleh kami, tapi pemimpin kerajaannya sendiri!

“Jika ini kualiti Ahli Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri kepada Menteri Luar, saya cadangkan kepada Menteri Luar untuk memecatnya dan cari calon lain kerana beliau memalukan nama Kementerian Luar Negeri dan kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sungguh lucu dan memalukan!, “ujar beliau.

Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Howard yang mengatakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada bodoh atau pura-pura bodoh mengenai perihal hubungan antarabangsa.

Howard merujuk kritikan Muhyiddin yang memberi amaran bahawa kenyataan Anwar di Dewan Rakyat mengenai kerajaan terbuka berunding dengan China isu pertikaian Laut China Selatan yang boleh dianggap memperakui tuntutan China. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan