ALIRAN trafik tinggi dilapor di beberapa laluan di lebuh raya utama sejak awal pagi tadi.
Ia berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan orang ramai pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.
Setakat 8.50 pagi tadi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi Twitter memaklumkan, beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak mencatat aliran trafik tinggi.
Dilaporkan beberapa kemalangan turut berlaku di beberapa kawasan namun tiada lorong terhalang.
Di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, aliran trafik tinggi dilaporkan dari Sungai Buaya ke Bukit Tagar; Tanjung Malim ke Behrang; Slim River ke Hentian Sebelah Ladang Bikam; Bidor ke Tapah; Tapah ke Gopeng; Terowong Menora ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak serta Kuala Kangsar ke R&R Bukit Gantang.
Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur pula aliran trafik tinggi dilaporkan dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi serta dari KM 76 ke Plaza Tol Karak.
Di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), trafik perlahan keluar ke Plaza Tol Kuala Terengganu. – Edisi 9