PANGGILAN ke kem latihan pusat skuad kebangsan untuk aksi persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong kali ini pastinya menggamit kembali memori ketiga-tiga penjaga gol yang dipanggil Kim Pan Gon.
Mana tidaknya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Damien Lim dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi pernah berada dalam satu pasukan yang sama ketika di PJ City FC pada 2020 sementara seorang lagi Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman merupakan penjaga gol Negeri Sembilan.
Musim singkat kerana COVID-19 itu menyaksikan Kalamullah dan Ahmad Syihan bersaing merebut tempat sebagai benteng terakhir kelab tersebut sementara Damien menjadi pilihan ketiga ketua jurulatih, K. Devan.
Kalamullah kekal di PJ City FC sehingga akhir musim lalu dengan merekodkan 50 penampilan sebelum berhijrah ke utara bersama Kedah Darul Amin FC bagi musim 2023.
Bagi Ahmad Syihan pula, langkah penghijrahannya ke Negeri Sembilan pada 2022 merupakan satu tindakan yang tepat bagi memacu kariernya ke arah lebih baik.
Bekas produk Sekolah Sukan Bukit Jalil itu beraksi cemerlang bersama Negeri Sembilan dan mendapat panggilan skuad kebangsaan di bawah Pan Gon untuk saingan Piala Raja Thai tahun lalu.
Ketangkasan Ahmad Syihan menarik minat juara sembilan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) ke selatan apabila menyambar khidmat anak kelahiran Kelantan itu untuk menyarung jersi nombor satu pasukan, menggantikan Farizal Marlias yang kian berusia.
Penjaga gol berusia 27 tahun itu meraih trofi pertamanya bersama JDT apabila menang ke atas Terengganu 2-0 dalam aksi Piala Sumbangsih pada 24 Februari lalu.
Sementara itu, karier Damien Lim juga tidak kurang hebatnya. Damien terlebih dahulu membuka langkah berhijrah menyertai skuad Jang pada 2021.
Damien merupakan antara watak penting dalam membantu Negeri Sembilan menjuarai Liga Premier 2021 sekali gus layak ke Liga Super.
Tahun berikutnya menyaksikan Damien menyertai Datuk Ong Kim Swee ke Sabah FC. Namun aksi Damien agak terbatas dengan penyertaan penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat.
Namun, musim 2023, Damien diberi peluang menjaga gawang Sabah sebanyak dua kali dalam aksi Liga Super menentang Kuching City FC dan Sri Pahang FC.
Dan kini, mereka bersaing merebut tempat sebagai penjaga gol utama Harimau Malaya bersama Sikh Izhan Nazrel bagi aksi persahabatan pada 23 dan 28 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. – Edisi 9