AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan soalan berhubung isu lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi minggu lalu, telah ditolak dalam sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.
Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), berkata, penolakan tersebut sekali gus menyebabkan peluang untuk pembangkang mendengar sendiri penjelasan daripada Anwar pagi ini gagal.
“Selamat pagi! Seperti yang telah dicabar Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), saya hadir ke sesi PM Question Time pagi ini.
“Malangnya soalan saya berkenaan lawatan rasmi YAB Tambun ke Arab Saudi telah ditolak. Sayang peluang yang patut diterangkan dilepaskan begitu saja,”katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Bagaimanapun, Wah Ahmad Fayhsal berkata, beliau sudah menyediakan backup plan iaitu Usul Tergempar dalam Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) berhubung perkara itu, semalam.
“Maka tiada alasan tidak munasabah untuk Menteri Luar Negeri jelaskan kepada Dewan Rakyat.
“Rakyat dan pembayar cukai berhak tahu apa berlaku di Arab Saudi, siapakah yang wajar bertanggungjawab dan berapa kos perbelanjaan lawatan tersebut,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen PN mengemukakan usul tergempar untuk membincangkan kesan lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi minggu lalu.
Sebelum ini, PN mempertikaikan impak lawatan rasmi Perdana Menteri selama tiga hari ke Arab Saudi dengan menuntut penjelasan kerajaan atas kegagalan Anwar bertemu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota, Mohammed Salman. – Edisi 9