PEMBANGKANG diingatkan agar melihat isu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini melalui lensa mata lebah dan bukannya mata lalat.
Pengerusi Jaringan NGO Malaysia, Datuk Romli Ishak berkata, ini kerana banyak perkara positif yang berjaya dibawa oleh Perdana Menteri sepanjang tiga hari lawatan ke Mekah dan Madinah itu.
Beliau berkata, antara kejayaan dalam lawatan tersebut ialah kerjasama pintar antara Teraju dan Mobility One Sdn Bhd bersama Kumpulan Al-Nesma bagi pembangunan hub Islam di kedua-dua negara serta penglibatan dalam pembangunan bandar Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah.
“Tidak wajar ditiupkan lagi isu kehadiran delegasi Anwar ke Arab Saudi baru-baru ini tidak mendapat layanan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman.
“Sepatutnya, diperingatkan perihal kita sebagai rakyat progresif melihat suatu permasalahan melalui lensa mata lebah, bukan mata lalat. Sentiasa melihat yang positif dan baik atau mencari yang negatif dan buruk,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Romli berkata, antara kejayaan lain yang dibawa oleh Anwar bersama rombongan ialah pemeteraian persefahaman (MoU) antara Exim Bank Malaysia dan Exim Bank Arab Saudi.
MoU tersebut, katanya, bakal membuka peluang akses kewangan kepada usahawan Malaysia untuk meneroka pasaran bukan sahaja di Arab Saudi tetapi melangkau pasaran lain di Asia Barat dan Afrika Utara.
“Manakala, pertemuan yang berlangsung bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diketuai Setiausaha Agungnya, Hussein Brahim Taha di Makkah dilihat mengukuhkan iltizam mendepani isu Palestin, Afghanistan, Islamophobia, proses rundingan damai selatan Thai dan Filipina serta beberapa permasalahan lain yang dihadapi umat islam saat ini dapat ditangani dengan berkesan melalui komitmen Malaysia,” katanya.
Lawatan Perdana Menteri yang diiringi isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail serta Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil beberapa hari lalu mendapat pertikaian pembangkang.
Antara yang dipersoal ialah kegagalan Anwar mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Mohammed bin Salman serta Raja Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud, selaku Pemegang Kunci Dua Masjid Suci umat Islam.
Romli juga mengajak semua pihak agar keluar daripada kebiasaan yang menjadikan kehadiran pembesar sebagai lambang kejayaan sesuatu acara.
“Pertemuan kali ini walaupun sederhana tanpa bertemu raja-raja, membawa pulangan besar berganda-ganda dalam bentuk pulangan pelaburan kembali kepada negara dengan imej positif dikalangan kapten industri dan pelabur,” katanya. – Edisi 9