29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Seludup PATI: 9 ditahan termasuk 5 penguat kuasa

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEMBILAN individu termasuk lima pegawai penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah.

SPRM menerusi kenyataan berkata, lima pegawai termasuk dua wanita berusia antara 30 hingga 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang hingga 8.40 malam, kelmarin.

Katanya, empat suspek dipercayai bertindak sebagai ejen dari negara jiran melibatkan tiga wanita tempatan berusia antara 37 hingga 48 tahun dan seorang lelaki berusia 73 tahun ditahan petang kelmarin.

“Modus operandi ialah setiap PATI atau Pemastautin Sementara yang tidak mempunyai dokumen lengkap atau mempunyai sekatan akan membayar sekitar RM2,500 kepada ejen jika ingin keluar dari Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau.

“Sindiket kemudian akan membekalkan MyKad tulen dan pas masuk menaiki pesawat atas nama pemilik asal MyKad kepada kumpulan PATI yang menggunakan khidmat mereka,” katanya hari ini.

Operasi khas itu merupakan kerjasama antara SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikenali sebagai Op Lancar.

Mengulas lanjut, SPRM berkata, PATI tersebut akan melepasi pemeriksaan pihak berkuasa di Tawau dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas bayaran rasuah dibuat kepada pegawai penguat kuasa.

“SPRM mendapati, bagi setiap penerbangan ke KLIA2, ejen tersebut akan membawa masuk antara lima hingga 20 orang PATI dan sindiket ini dipercayai beroperasi sejak 2018.

“SPRM merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, kad pengenalan Malaysia milik individu lain dan cop keluar Sabah yang lengkap dengan nombor siri,” katanya.

Sementara itu, JPN dalam operasi itu juga telah menahan seramai 12 orang PATI yang didapati memasuki negara menggunakan sindiket terbabit. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan