30.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 1, 2023

Program libat ‘Thai Hot Guy’ batal

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PROGRAM pelancaran sebuah kelab yang melibatkan kumpulan ‘Thai Hot Guy‘ dibatalkan susulan satu perjumpaan yang diadakan antara penganjur dan Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, amaran keras telah diberikan kepada penganjur supaya tidak meneruskan hasrat mereka menganjurkan program tersebut.

“Penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program tersebut dan tiada sebarang program atau aktiviti yang tular sebelum ini akan diadakan.

“Polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebuah bar baharu di Kuala Lumpur sebelum ini menyiarkan poster pelancaran mereka di media sosial menggunakan kumpulan ‘Thai Hot Guy’ yang merupakan tetamu undangan mereka.

Tindakan tersebut membangkitkan kemarahan orang ramai yang mengkritik tindakan tersebut sehingga memaksa penganjur menutup ruangan komen di Facebook.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik mendesak penganjur membatalkan program berkenaan dan berjanji akan mengambil tindakan jika mereka berdegil untuk meneruskan program tersebut.

Pergerakan Pemuda UMNO hari ini membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa campur tangan bagi membatalkan penganjuran program tersebut.

Tinjauan Edisi 9 ke Facebook kelab berkenaan pukul 4 petang tadi mendapati poster pelancaran yang dimuat naik sebelum ini telah dipadamkan. 

Sementara itu, Ashari berkata, sehingga pukul 4 petang tadi, terdapat sebanyak 60 laporan polis telah diterima membantah penganjuran program berkenaan. 

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam,” katanya. – Edisi 9

Terkini

MOTAC perlu tingkat produk dan perkhidmatan pelancongan – Anwar Ibrahim

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan harapan yang tinggi kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam meningkatkan...

Lagi Artikel Berkaitan