POLIS Johor menafikan sebuah video yang tular menunjukkan kejadian sebuah jambatan runtuh berlaku di negeri itu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya mengesan sebuah video berdurasi 20 saat mendakwa kejadian jambatan runtuh dan dibawa arus deras.
“Polis Kontinjen Johor mengesahkan kejadian itu tidak berlaku di negeri ini dan dipercayai berlaku di luar negara.
“Polis telah mengesan video itu berlaku sekitar 12 Disember 2022 di luar negara,” katanya daam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita atau mesej palsu yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegusaran.
Tegasnya, mana-mana pihak yang bertindak demikian boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga jam 4 petang tadi, sebanyak sembilan daerah dilaporkan terjejas.
“Daerah berkenaan adalah Segamat, Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan, Kluang, Kulai, Pontian, Kota Tinggi dan Batu Pahat.
“Seramai 6,773 mangsa telah terjejas dan ditempatkan di 45 pusat pemindahan sementara (PPS).
“Dalam menghadapi bencana banjir ini, polis Johor telah menggerakkan pegawai dan anggota di seluruh daerah, bantuan daripada pasukan gerakan am (PGA) dan bantuan daripada pasukan Sahabat bagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa-mangsa banjir,” katanya. – Edisi 9

