34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pengikut ajaran sesat Si Hulk diburu

Menyebarkan video menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW 

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KUMPULAN ajaran sesat Si Hulk yang menyebarkan video menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW kini diburu Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, JAINJ sudah menerima laporan berhubung penularan video berkenaan di TikTok sejak semalam.

Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Julai 2021, memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaini Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

“Di dalam video yang tular itu, dengar seperti mereka sebut Syiah tetapi ia adalah Si Hulk. Penyebaran video tular mengenai ajaran Si Hulk ini memberi gambaran ajaran sesat ini masih ada pengikut setia walaupun sudah diharamkan dua tahun lalu.

“Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada pelaku di dalam video terbabit dan mana-mana pihak agar menghentikan penyebaran ajaran sesat ini. Jika tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya kepada media di Kota Iskandar, Johor, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Fared memberitahu, sekurang-kurangnya 21 ajaran sesat dikesan di Johor dan telah diletakkan dalam senarai fatwa dan warta berkaitan akidah di negeri ini.

Antaranya ajaran sesat yang disenaraikan ialah ajaran Ismail Arifin@lepat, fahaman Hizbut Tahrir, ajaran Azman Samat, ajaran Millah Abraham dan kumpulan Layar Bahtera.

“Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat itu.

“Justeru, fahaman dan ajaran sesat hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Johor dan mana-mana orang Islam yang terbabit dengan ajaran ini hendaklah bertaubat,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan PDRM sudah memulakan siasatan berhubung kes video tular di media sosial membabitkan dua lelaki dipercayai menghina Nabi Muhammad SAW.

Saifuddin berkata, laporan berhubung kes terbabit diterima pihak berkuasa yang kini berusaha mengenal pasti pelaku dalam video itu.

Video tular berdurasi seminit 17 saat itu memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

-EDISI9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan