24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Malaysia-Turkiye setuju tingkat kerjasama ketenteraan

Malaysia sumbang sebahagian aset-aset Hospital Medan Malaysia kepada kerajaan Turkiye bagi membantu pemulihan perkhidmatan kesihatan

Mesti Baca

MALAYSIA dan Turkiye menyatakan komitmen untuk terus meningkatkan kerjasama ketenteraan dalam bidang sains, teknologi dan industri pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, komitmen itu dinyatakan ketika beliau bertemu rakan sejawatannya, Hulusi Akar di Ankara pada hari pertama lawatannya ke negara itu pada Ahad.

Beliau berkata, dalam pertemuan tersebut Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga serta rakyat Turkiye yang terjejas akibat bencana gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda negara itu pada 6 Februari lalu.

“Saya menzahirkan solidariti Malaysia bersama Turkiye yang sedang menghadapi keadaan mencabar masa ini dan komitmen Malaysia bagi membantu negara berkenaan dan rakyatnya.

“Malaysia akan menyumbangkan sebahagian aset-aset Hospital Medan Malaysia (HMM) kepada kerajaan Turkiye bagi membantu pemulihan perkhidmatan kesihatan Turkiye,” katanya menerusi kenyataan media sebagai rangkuman lawatan selama tiga hari ke negara itu sejak Ahad.

Mohamad Hasan bersama rakan sejawatannya dari Turkiye, Hulusi Akar.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Mohamad ke Turkiye sejak beiiau menjawat jawatan Menteri Pertahanan pada Disember tahun lalu.

Mohamad berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan tentang perolehan yang sedia ada dan akan datang melalui mekanisme Kerajaan-kepada-Kerajaan (G2G).

Advertisements

Beliau turut memanjangkan jemputan kepada Hulusi untuk menghadiri ke Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LlMA 2023) yang akan diadakan pada Mei nanti.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan berkata, Mohamad turut melawat HMM di Celikhan, Adiyaman dan telah diberi taklimat oleh Brigadier Jeneral Datuk Dr Amran Amir Hamzah mengenai operasi hospital medan itu sejak dibuka pada 15 Februari lalu.

Katanya, HMM telah memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat dan kawasan berdekatan yang telah terjejas akibat bencana gempa yang berlaku baru-baru ini.

Mohamad Hasan bersama anggota keselamatan Malaysia di Celikhan, Adiyaman.

“Menteri Pertahanan turut mengambil kesempatan meluangkan masa untuk beramah mesra dan berinteraksi dengan petugas-petugas HMM semasa sesi makan tengah hari bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka dalam mengharumkan nama negara,” katanya.

Sempena lawatan tersebut, Mohamad turut bertemu Presiden Agensi Industri Pertahanan (SSB) dan telah diberi taklimat tentang bagaimana Turkiye membangunkan industri pertahanan dengan jayanya seterusnya menjadi antara pemain industri utama di dunia.

Kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa kerjasama industri pertahanan perlu dipertingkatkan melangkaui perolehan aset-aset ketenteraan dan komited untuk meneroka peluang kerjasama lain yang saling memanfaatkan kedua-dua negara. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan