PROSES Pemilihan UMNO 2023 bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang berlangsung hari ini dilaporkan berjalan lancar tanpa sebarang masalah yang timbul setakat ini.
Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi hantaran beliau di Facebook.
Beliau berkata, proses pemilihan membabitkan 191 Bahagian UMNO di seluruh negara itu dilaporkan berjalan dalam suasana harmoni dan penuh semangat.
“Menarik sekali kerana lebih 20,000 Cawangan UMNO telah selesai bermesyuarat dan ada pemilihan.
“Semua berjalan dengan baik, harmoni dan damai. Inilah semangat UMNO yang terus berjuang demi ABATA, (Agama, Bangsa Tanah Air),”katanya.
Beliau turut berkesempatan hadir mesyuarat perwakilan Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Pontian, hari ini.
Sejumlah 266 calon bersaing merebut 15 jawatan dipertandingkan pada Pemilihan UMNO 2023 bagi Wanita, Pemuda serta Puteri peringkat Pusat, hari ini.
Pemilihan berlangsung serentak dengan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian di seluruh negara. – Edisi 9