32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Lima lagi lebuh raya laksana sistem pembayaran terbuka

11 syarikat konsesi bersetuju untuk laksana sistem pada pertengahan September depan

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK lima lagi syarikat konsesi lebuh raya bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran terbuka sekali gus menjadikan 11 keseluruhan lebuh raya melaksanakannya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lima lebuh raya tersebut adalah Lebuhraya Maju (Mex), Terowong SMART, Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP).

Katanya, pelaksanaan sistem itu akan mengikut tarikh yang dirancang pada pertengahan September depan.

“Sistem pembayaran terbuka ini akan dilaksanakan secara berfasa melibatkan pelbagai syarikat konsesi lebuhraya. Saya ingin memaklumkan bahawa lima lagi lebuhraya telah bersetuju untuk mengambil bahagian di dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka ini.

“Ini menjadikan keseluruhan jumlah lebuhraya yang bakal terlibat di dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka ini kepada 11,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sebelum ini terdapat enam syarikat konsesi bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran terbuka.

Advertisements

Antaranya Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan lokasi pelaksanaan Proof of Concept (POC) Pelaksanaan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) telah diputuskan dengan Lebuhraya Sungai Besi telah dipilih sebagai lokasi pertama.

Katanya, pelaksanaan POC itu akan dibuat pada penghujung Oktober 2023 bagi menilai sistem MLFF sebelum dilaksanakan bagi kesemua lebuh raya di Malaysia.

“Kementerian juga sedang mengadakan rundingan bersama syarikat konsesi yang lain bagi mendapatkan satu lagi lebuh raya bagi pelaksanaan POC MLFF. Keputusan lokasi POC kedua ini akan saya umumkan dalam masa terdekat.

“Sistem pembayaran terbuka dan MLFF ini tidak boleh dilaksanakan semalaman dan perlu melalui pelbagai peringkat. Perkara ini tentunya bukan mudah dan memerlukan perancangan teliti dan penggunaan teknologi yang berpatutan serta rundingan bersama pelbagai pihak sebelum ianya dapat dilaksanakan sepenuhya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama semua pihak agar bersabar dan memberikan masa kepada kementerian itu dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka sekaligus memastikan transisi MLFF dapat dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan