25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Lembaga Disiplin UMNO beri amaran kepada Khir Toyo

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

LEMBAGA Disiplin UMNO memberi amaran keras terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd. Khir Toyo selepas didapati melempar tohmahan, mengeji dan menghina Datuk Seri Jamal Md Yunos secara terbuka pada awal bulan ini.

Pengerusinya, Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, perbuatan itu dibuat menerusi tiga kenyataan media dengan memburuk-burukkan calon lain dalam tempoh pemilihan parti yang telah diputuskan Lembaga Disiplin pada 15 Mac lalu.

“Dr. Khir didapati bersalah kerana melanggar Perlembagaan UMNO dan Tata etika Ahli UMNO,” katanya menerusi sepucuk surat Lembaga Disiplin UMNO kepada Dr. Mohd. Khir yang dialamatkan ke kediamannya di Sungai Besar, bertarikh 16 Mac lalu.

Surat berkenaan tular sejak malam tadi.

Dr. Mohd. Khir dalam kenyataan akhbar tersebut telah berkata ‘Jamal dah kalah hampir 7,000 undi, takkan nak beri peluang kepada dia lagi untuk memimpin UMNO Bahagian?’.

Pada 8 Mac lalu, Mohamad Khir didakwa melempar dakwaan dan tohmahan terhadap Jamal kerana ingin mempertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar meskipun telah kalah 7,000 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pertuduhan kedua pada 5 Mac pula menyaksikan beliau telah membuat kenyataan terbuka mengeji dan menghina Jamal dalam kenyataan yang bertajuk ‘Amalan gangsterisme rugikan UMNO’.

Sementara itu, dakwaan yang dilemparkan Dr. Mohd. Khir pada 1 Mac adalah kerana membuat kenyataan terbuka bertajuk ‘Khir Toyo Buat Kemunculan Semula, Mahu Bantu Anak Muda Sungai Besar’ dengan niat mendapatkan sokongan perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar.

Mohd. Hafarizam bagaimanapun menyatakan bahawa Dr. Mohd. Khir boleh berbuat rayuan sekiranya tidak berpuas hati dengan hukuman berkenaan.

“Sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan hukuman lembaga disiplin seperti di atas, selaras dengan Fasal 20.6 Perlembagaan UMNO, beliau bolehlah merayu kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” katanya.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan