28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kadar bayaran haji B40 kekal, T20 kena bayar penuh

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) akan meneruskan bantuan kewangan menunaikan haji kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) biarpun berdepan kenaikan kadar kos daripada RM28,632 kepada RM30,850 seorang.

Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, bantuan itu diberikan hanya kepada mereka yang kali pertama menunaikan ibadah haji sahaja sementara golongan 20 teratas (T20) perlu membayar penuh.

Katanya, kos menunaikan haji bagi golongan B40 meningkatkan sebanyak RM1,000 kepada RM10,980 namun ianya ditanggung sepenuhnya Tabung Haji.

Tambah beliau lagi, kos golongan M40 pula meningkatkan sebanyak RM3,000 kepada RM15,980 seorang sementara T20 yang berpendapatan lebih RM15,000 sebulan perlu membayar penuh kos RM30,850 seorang.

“Bantuan ini akan diberikan kepada jemaah haji kali pertama di bawah kategori B40 dan M40. Jemaah haji rayuan, di luar giliran, jemaah haji kategori T20 dan bukan kali pertama tidak akan mendapat bantuan kewangan daripada Tabung Haji.

“Bantuan kewangan haji bersasar juga akan dapat mengurangkan beban kewangan Tabung Haji bagi mecapai matlamat utamanya, menyediakan kemudahan bagi umat Islam di negara ini yang menabung bagi menunaikan fardu haji,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Menara TH hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana faktor-faktor di luar kawalan Tabung Haji.

Katanya, kos telah meningkat 198 peratus atau hampir dua kali ganda sebanyak 200 peratus kos tetapi bayaran haji tidak mencerminkan kenaikan tersebut.

“Ini juga satu cabaran untuk Tabung Haji di mana seharusnya kita lihat bayaran haji mencerminkan kenaikan kos setiap tahun supaya tidak beri kesan buruk kepada kedudukan kewangan kami dan untuk kelangsungan pada masa akan datang.

“Jika kita tidak buat kajian (bantuan haji) semula, maka kita akan menanggung RM2.71 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang ini. Dengan kos yang meningkat begitu mendadak, kita akan mengeluarkan bantuan haji yang lebih besar,” ujarnya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan