KOMPLEKS Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bakal dibina di daerah Kota Tinggi yang dijangka akan membawa limpahan ekonomi di daerah tersebut serta kesediaan doktor-doktor pakar.
Berita baik itu disampaikan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas menerima kunjungan delegasi USIM diketuai Naib Canselornya, Profesor Ts Dr Sharifuddin Md Shaarani.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri Johor sentiasa mengalu-alukan cadangan serta pembangunan, terutamanya melibatkan sektor kesihatan awam.
“Dalam pertemuan tadi, pihak KPT dan USIM bercadang untuk membina sebuah kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Kota Tinggi, Johor.
“Hospital ini dijangka dapat menampung pesakit-pesakit sekitar Kota Tinggi, Pengerang dan Bandar Penawar.
“Untuk itu, pihak kerajaan negeri akan memperhalusi dan membantu sedaya upaya agar projek ini berjalan lancar,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau di sini.
Katanya lagi, itulah yang menjadi hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin yang dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar bersama delegasi daripada KPT dan juga USIM.
“Saya dimaklumkan belum ada Hospital Pengajar Universiti di Johor, terutamanya di belah selatan negara dan ditempatkan di kawasan luar bandar.
“Dengan adanya pembinaan kompleks Hospital Pengajar USIM ini, semestinya akan membawa limpahan ekonomi di daerah Kota Tinggi, serta kesediaan doktor-doktor pakar di sana,”katanya.
Hadir sama dalam pertemuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) Datuk Mohammed Ridha Datuk Abd Kadir.
Lain-lain, Pengarah Tanah dan Galian Johor, Datuk Ashari Haji Kasnan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff dan Profesor Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM merangkap Penyelaras Projek Pembangunan Hospital Pengajar USIM, Prof Datuk Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris. – Edisi 9