25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kestabilan politik, dasar jelas jadikan Malaysia pilihan AWS

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PENTADBIRAN politik stabil dan dasar yang jelas dalam negara menjadi faktor utama Amazon Web Services (AWS) memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan AWS bernilai RM25.5 bilion menjelang tahun 2037 memberi dampak yang tinggi kerana menambah keyakinan pelabur luar terhadap negara.

“AWS dipelawa banyak negara ASEAN dan memilih Malaysia, bermakna itu menambah keyakinan dan memangkin kemasukan beberapa pelabur baharu dari barat dan timur.

“Ini (pelaburan AWS) juga memberi peluang kepada perniagaan tempatan kerana ia melibatkan pendekatan yang lebih canggih iaitu cloud (awan) yang berpangkalan di Malaysia,” kata beliau pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berhubung implikasi pelaburan AWS dan Tesla serta perancangan kerajaan bagi memastikan lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi masuk ke Malaysia.

Minggu lalu, penyedia perkhidmatan awan antarabangsa itu mengumumkan pelaburan kira-kira RM25.5 bilion dalam tempoh 15 tahun untuk wilayah infrastruktur baharunya di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pembangunan itu adalah sokongan yang jelas terhadap keupayaan dan kapasiti Malaysia yang membolehkan negara memangkinkan pertumbuhan ekonominya.

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula berkata, pelaburan AWS di Malaysia itu adalah kritikal untuk membantu negara menstruktur semula dan mendigitalkan ekonomi.

Beliau berkata, Malaysia memerlukan data yang terperinci dan boleh dicapai dalam masa sebenar melalui ekosistem yang mendorong proses ‘eksperimentasi dan pembelajaran’.

“Prasyarat ekosistem ini adalah infrastruktur data yang murah, boleh skala, dan selamat.

“Platform pengkomputeran awan seperti AWS memenuhi ketiga-tiga ciri ini, maka kerajaan adalah komited untuk menyokong penerapannya dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia berbangga untuk mengumumkan kerjasama awam swasta dengan AWS, yang telah membawa kepada Pelaburan Wilayah Data di Malaysia. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan